SANDAKAN - Seorang wanita 'buta huruf' atau tidak pandai membaca dan menulis, tidak menjadikan kekurangannya, halangan untuk mendapatkan vaksin Covid-19, malah beliau menjadi penerima pertama vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) secara jumpa terus atau 'walk-in' di sini pada Isnin.
Anila Tahir, 55, seorang petugas landskap memberitahu dia keluar dari rumahnya di Kampung Tinosa 1 dekat sini ditemani suaminya pada jam 5 pagi menuju Dewan Yu Yuan di sini sejauh 12 kilometer (km), yang dijadikan PPV pertama dikhaskan untuk masyarakat Sandakan menerima vaksin secara jumpa terus.
"Saya telah didaftarkan oleh ahli keluarga saya untuk mendapatkan janji temu di MySejahtera. Tetapi kerana saya tidak tahu membaca, saya tidak tahu bagaimana untuk pastikan saya telah mendapat janji temu.
"Saya benar-benar mahu mendapatkan suntikan vaksinasi kerana saya tidak mahu lagi berasa risau dijangkiti penyakit apabila keluar bekerja dan berurusan di luar rumah," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.
Setelah menerima vaksin, dia sempat menyatakan 'saya orang pertama,' ketika keluar dari dewan itu dan disambut dengan sorakan anggota polis yang berkawal di PPV berkenaan.
Anila, yang mempunyai lima anak dan 14 cucu itu berkata, dia dimaklumkan oleh rakan sekerja mengenai peluang mendapatkan suntikan vaksin secara jumpa terus di PPV itu pada Sabtu lalu dan bertekad mencuba nasib untuk mendapatkan vaksinasi berkenaan.
"Saya tidak sangka apabila petugas PPV memberitahu saya orang yang pertama datang. Saya sangat seronok," katanya, yang mendapat suntikan dos pertama vaksin Sinovac.
Sementara itu, Fatimah Yunus, 47, orang kurang upaya (OKU) pembelajaran, merupakan antara penerima suntikan vaksin terakhir bagi sesi pagi di PPV itu.
Adik iparnya Rusmidah Awang, 41, berkata, keluarganya risau jika Fatimah tidak sihat apabila mendapat tarikh janji temu di MySejahtera.
"Apabila nampak keadaan kakak ipar sihat hari ini, kami cuba untuk datang mendapat vaksinasi," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), Wong Foo Tin berkata, hanya 760 dos diberikan di PPV itu bermula jam 9 pagi hingga 5 petang pada Isnin.
Beliau berkata, kemudahan itu terbuka kepada warganegara berumur 40 tahun ke atas, tetapi keutamaan diberikan kepada warga emas dan OKU yang telah mendaftar di MySejahtera, tetapi belum menerima tarikh janji temu. - Bernama