Bangunan Pusat Ilmu Falak Sheikh Tahir tidak selamat diduduki

Iklan
Kerja pembersihan sedang dijalankan di kawasan runtuhan oleh JKR Barat Daya, kontraktor dilantik dan bomba.

BALIK PULAU - Bomba mengesahkan bangunan Pusat Ilmu Falak Sheikh Tahir di Jalan Pantai Acheh di sini tidak selamat untuk diduduki berikutan berlaku tanah runtuh di kawasan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Balik Pulau, Mohd Faris Idris berkata, dalam kejadian pada 1 petang, tanah runtuh itu dipercayai berlaku selepas dua hingga tiga buah batu besar menggelongsor dari kedudukannya ke jalan raya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian itu disebabkan hujan lebat lebih sejam di kawasan tersebut.

"Selepas menerima panggilan daripada orang awam, kami terus bergegas ke lokasi kejadian. Tinjauan di lokasi kejadian mendapati, berlaku tanah di situ.

Iklan

"Turut kelihatan, ada beberapa buah batu besar yang berada di atas jalan raya dipercayai menggelongsor dari tebing kawasan bangunan berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Katanya, siasatan awal mendapati, bangunan dan kawasan di Pusat Ilmu Falak Sheikh Tahir itu tidak selamat untuk diduduki buat masa ini.

Iklan

"Bangunan itu tidak selamat diduduki namun jika mendapat kelulusan pihak berwajib, maka ia dibenarkan.

"Kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di lokasi terlibat dan mungkin memakan masa dalam satu hingga dua hari," katanya.

Menurutnya, laluan utama sekitar Jalan Pantai Acheh itu ditutup buat sementara kepada penduduk berhampiran bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan.

"Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.

"Orang ramai dinasihatkan berhati-hati menggunakan laluan di kawasan sekitar terutama ketika hujan lebat," katanya.

Sementara itu, Exco Pengangkutan dan Infrastruktur Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Barat Daya telah menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 1.30 petang.

"Pasukan dari Pejabat Operasi JKR Barat Daya bersama kontraktor yang dilantik bagi kerja-kerja pembersihan cerun telah ke lokasi kejadian.

"Pihak JKR telah membersihkan kesan runtuhan di atas jalan untuk kegunaan penduduk di Mukim Pantai Acheh selain mengelakkan laluan penduduk terputus," katanya ketika dihubungi.