Bekas menteri Sabah, Sarawak hargai peluang sertai kabinet Muhyiddin

Iklan
Fadillah, Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR - Bekas menteri dari Sabah dan Sarawak dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberi peluang menabur khidmat bakti kepada rakyat ketika negara berdepan dengan penularan wabak Covid-19.

Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin telah melakukan yang terbaik dalam menangani penularan Covid-19 termasuk melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sudah menampakkan hasil.

Iklan
Iklan

Bekas Menteri Kanan Kerja Raya itu berkata, GPS menghormati keputusan Muhyiddin yang terpaksa mengambil keputusan untuk berundur dan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Ahli Parlimen Pagoh itu menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara atau 'caretaker' sebelum penggantinya dilantik.

"Saya berharap sesiapa sahaja Menteri Kerja Raya yang akan dilantik selepas ini akan meneruskan segala projek yang telah diluluskan dan dirancang demi kesejahteraan infra rakyat,” kata Ahli Parlimen Petra Jaya itu dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Sementara itu, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tempoh 17 bulan menerajui kementerian tersebut merupakan tempoh mencabar baginya yang belum pernah dialami sebelum ini.

"Pelbagai cabaran yang dihadapi, terutamanya masalah bekalan dan harga barangan keperluan termasuk pelitup muka serta pembelian panik yang tercetus akibat penularan wabak Covid-19 secara berleluasa,” katanya dalam kenyataan.

Iklan

Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit dan Setiausaha Agung GPS, turut menyatakan penghargaan kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana mencalonkannya untuk menganggotai barisan Jemaah Menteri di bawah PN.

"Saya berbangga kerana sedikit sebanyak dapat membantu Sarawak mendapatkan Pengecualian Kawal Selia LPG di negeri itu, mendapatkan kebenaran untuk SEDC Energy Sdn Bhd menjadi syarikat minyak di Sarawak dan membantu dalam mencapai penyelesaian isu cukai jualan petroleum melibatkan negeri Sarawak dan Petronas,” katanya.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri juga menyifatkan pengalaman mencurahkan bakti sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) sejak Mac 2020 terutama ketika mengharungi cabaran dan krisis yang tidak pernah berlaku akibat penularan Covid-19 adalah ilmu yang akan dikenang selamanya.

Naib Ketua Wanita 1, Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu turut berterima kasih kepada Muhyiddin kerana tidak mengabaikan permintaannya untuk membantu penggiat industri pelancongan, seni dan budaya tempatan mengharungi situasi sukar sepanjang lebih setahun.

Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), dalam respons ringkas berkata:"Kami mematuhi kehendak Perlembagaan. Terima kasih”.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam kenyataannya berkata, selain warga kementeriannya beliau mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada warga tani, nelayan, penternak dan pengeluar makanan yang sentiasa berusaha memastikan bekalan makanan negara mencukupi. - Bernama