SHAH ALAM - Syria Care melancarkan kempen Edu4Syria bermula Ogos 2021 untuk kanak-kanak di Syria bagi memastikan mereka disiapkan dengan ilmu pengetahuan dalam membina kehidupan pada masa akan datang.
Pengurus Besarnya, Nurdieana Mohd Mardzi berkata, antara faktor penubuhan Syria Care adalah bagi mengambil tanggungjawab kemanusiaan untuk membantu anak-anak pelarian Syria agar mereka berpeluang ke sekolah dan menjadikan kehidupan lebih baik daripada apa yang telah dilalui.
Menurutnya, pertubuhan itu telah menyediakan empat sekolah secara keseluruhan bagi memastikan seramai mungkin kanak-kanak mendapat peluang untuk belajar.
"Kanak-kanak Syria merasakan bahawa keadaan menjadi lebih selamat, aman dan bahagia apabila berada di sekolah berbanding pulang ke khemah disebabkan ia dibina dengan pelbagai kemudahan dan persekitaran yang baik.
"Mereka bukan sahaja mempelajari akademik tetapi juga mengkhususkan kepada bidang al-Quran, hadis dan sebagainya.
"Ini adalah usaha Syria Care untuk kelangsungan pendidikan,” katanya pada program Sinar Live bertajuk ‘Masa Depan Anak-Anak di Syria’ disiarkan di platform Sinar Harian pada Jumaat yang dikendalikan oleh Dinnie Asyraf Salim.
Mengulas lanjut, Nurdieana bagaimanapun berkata, semua itu tidak datang dengan percuma, sebaliknya terdapat sejumlah nilai yang perlu dikeluarkan untuk memastikan pendidikan ini dapat terus diperkasa di Syria dengan kerjasama dan sokongan orang ramai.
"Mereka memang ingin bersekolah. Ada yang nak jadi doktor, guru dan saintis. Mereka ada cita-cita tersendiri tetapi terhalang dengan keadaan semasa selain kehidupan yang mencabar.
"Mereka juga berdoa agar satu hari nanti mendapat peluang itu,” kata Nurdieana.
Tambahnya, Syria Care turut memberikan kesedaran dan berkongsi maklumat mengenai perkara yang berlaku di sana bagi membolehkan rakyat Malaysia membantu memastikan mereka memperoleh pendidikan serta bantuan kemanusiaan secara berterusan.
Selain itu, pertubuhan itu juga melancarkan Kempen RM8 bagi mengumpul dana kelangsungan sekolah-sekolah tajaan Syria Care di utara Syria dan Turki.
Jelas beliau, sasaran sebanyak RM60,000 kutipan akan diperoleh dalam tempoh satu bulan sehingga 31 Ogos ini.
"Tanggungjawab Syria Care adalah melaksanakan amanah iaitu sumbangan orang ramai.
Kami akan memastikan sekolah dibangunkan demi masa depan mereka.
Kami mahu memberikan pendidikan percuma kepada anak-anak ini.
"Kami tidak mahu mereka terbeban.
Sudahlah menjadi pelarian, kemudian perlu pula membayar yuran untuk menampung kos operasi sekolah, gaji guru dan bahan pembelajaran,” ujarnya.
Menurut beliau, kanak-kanak di Syria sukar untuk mengakses pendidikan di sana susulan konflik di negara tersebut.
Jelasnya, perkara berkenaan berlaku disebabkan kebanyakan mereka terpaksa menjadi pelarian, berpindah ke kawasan lain untuk mencari tempat yang lebih selamat bagi menyelamatkan diri dan juga keluarga.
"Apabila berpindah-randah, akses kepada pendidikan memang mencabar jika tiada sokongan daripada agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar.
"Jika pelarian ini telah mendapat khemah atau tempat tinggal yang selamat, mereka yang ada kemahiran akan menawarkan diri menjadi guru secara tidak formal.
"Kanak-kanak Syria akan belajar di kawasan yang mereka rasakan selamat seperti di khemah atau di kawasan runtuhan bangunan lama.
Mereka melakukannya untuk memastikan mereka ada pendedahan kepada pendidikan,” katanya.
SokonganBeliau berkata, sekiranya tiada usaha atau bantuan sokongan luar, mereka tidak akan mempunyai peluang untuk belajar berdasarkan keadaan semasa.
Mereka lebih perlu memikirkan soal bagaimana untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Oleh itu, ujarnya, Syria Care sangat mementingkan pendidikan kepada kanak-kanak di sana bagi memastikan tidak berlaku peningkatan kadar buta huruf, tidak boleh membaca al-Quran dan buku serta maklumat yang mungkin akan menyebabkan pelbagai masalah sosial, masalah penipuan, jenayah, serta dimanipulasikan.
"Dalam tempoh 10 tahun ini, banyak NGO dan agensi tampil membantu rakyat Syria dan fokus kepada kelangsungan pendidikan kepada anak-anak Syria.
"Mereka ini golongan yang kita harus berikan pendidikan, bantuan untuk mereka bangun dan memperkasa serta mengambil kembali tanah air mereka untuk menjadi pusat kebangkitan Islam satu hari nanti,” katanya.
Dalam masa sama, Syria Care memilih Ogos sebagai bulan pendidikan kerana sesi persekolahan di Syria bermula pada bulan September.
Jelasnya, ia adalah bagi memberikan momentum dan mewujudkan perasaan bersedia untuk kembali ke sekolah.
"Di Malaysia ada program Back to School dan sama juga di Syria. Bulan Ogos tiap tahun kami akan lancarkan kempen Edu4Syria ini.
"Maklumat yang kita akan kongsikan ialah perkembangan sekolah dan pelajar di halaman Facebook,” ujarnya.
Mengulas mengenai perancangan pada masa hadapan, Nurdieana berkata, Syria Care akan terus menfokuskan kepada rakyat yang berada di dalam dan kawasan sekitar Syria.
Tambahnya, bantuan akan diberikan mengikut keperluan semasa bagi memastikan ia dapat berlaku secara berterusan dan terancang.
"Kami akan mengikuti keperluan semasa antaranya pada bulan Ramadan, kita melakukan kempen iftar dan sebagainya.
Pada musim sejuk, kita bagi baju sejuk dan bekalan lain ikut keperluan mereka,” katanya.
Beliau berkata, menyentuh soal amanah mengenai semua maklumat berkaitan jumlah sumbangan dan tujuan agihan akan dikemas kini di media sosial Syria Care.
"Syria Care sendiri memang diaudit secara profesional oleh badan bertanggungjawab dalam bidang ini.
Kami tidak ada masalah untuk memaklumkan kepada semua bahawa kami memegang amanah dengan sebaiknya.
"Kita tidak mahu ada soal tidak percaya dan sebagainya.
Kami memegang amanah bukan sahaja rakyat Malaysia, malahan Singapura, Indonesia dan Brunei,” katanya.