Kerajaan disaran letak keyakinan kepada NGO

Iklan

KEMBOJA - Kerajaan disaran meletakkan keyakinan kepada badan bukan kerajaan (NGO) dalam pelbagai perkara terutama dalam isu kemanusiaan.

Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, mengambil contoh pembebasan 47 rakyat Malaysia yang ditahan di Kemboja, NGO dilihat memainkan peranan penting dan berkesan kerana ahlinya terdiri daripada mereka yang mempunyai pelbagai latar belakang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejayaan tersebut itu juga didorong oleh kerjasama erat dengan NGO tempatan, masyarakat dan pemimpin negara itu.

"Saya sedih melihat keikhlasan NGO ini dipandang sepi oleh setengah pihak seolah-olah mereka tidak berperanan. Jika diperhatikan, banyak kejayaan oleh NGO yang mendapat perhatian antaranya isu Palestin, etnik Rohingya dan isu alam sekitar.

Iklan

"Tidak dinafikan peranan kerajaan, tetapi amat baik sekiranya kerjasama kerajaan dan NGO berlaku dengan lebih erat bagi menyelesaikan sebarang isu yang kadangkala tidak dapat ditangani kerajaan tetapi mampu diselesaikan oleh NGO," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Datuk Dr Othsman Hassan di Phnom Penh.

Iklan

Pada pertemuan tersebut, Mustapha berterima kasih atas bantuan dan kerjasama penuh Othsman dalam proses pembebasan 47 rakyat Malaysia dari Penjara Banteay Mencheay.

"Sekiranya beliau tidak membawa perkara ini kepada Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, kemungkinan tahanan tersebut masih di sana. Saya mengucapkan terima kasih kepada kedua-duanya yang bersungguh-sungguh membantu misi itu bermula 11 Februari hingga 15 Februari," katanya.

Sementara itu, Othsman berkata, tanpa usaha dan pemakluman daripada Mustapha dalam isu 47 tahanan rakyat Malaysia, beliau pasti tidak mengetahui perkara itu belum selesai.

"Tanpa Mustapha yang menghubungi pada 7 Februari, saya tidak mengetahuinya kerana ia adalah kes lama dan saya ingat ia telah selesai Tetapi apabila Mustapha menyatakan kes ini belum selesai dan memohon bantuan, saya berhubung dengan beliau yang berada di sini untuk urusan selanjutnya.

"Perancangan dan usaha yang dibuat akhirnya membuahkan kejayaan hasil kerjasama semua pihak disamping hubungan diplomatik antara Kemboja dengan Malaysia pada kedudukan amat baik," katanya.