MAH Sing Group Bhd masih boleh mencapai sasaran jualannya sebanyak RM1.6 bilion tahun ini walaupun pendapatannya mungkin menguncup antara 15 hingga 20 peratus akibat gangguan dalam sektor pembinaan dan kilang pengeluaran sarung tangan, menurut RHB Investment Bank Bhd.
Bank itu turut merendahkan harga sasaran syarikat berkenaan kerana menganggap nisbah harga kepada pendapatan yang lebih rendah bagi perniagaan sarung tangan, sejajar dengan purata sektor selepas menurunkan penarafan sektor baru-baru ini.
"Pengeluaran sarung tangan Mah Sing hanya dilaksanakan pada akhir April. Kilang pembuatan itu beroperasi secara tidak tetap pada Jun dan Julai akibat kawalan pergerakan di seluruh negara.
"Berikutan kelewatan penghantaran, kami menjangka sumbangan pendapatan daripada segmen sarung tangan adalah minimum pada Jun, namun diramal lebih kukuh pada separuh kedua 2021,” katanya menerusi nota pada Selasa.
Mengenai bahagian pembinaan, bank pelaburan itu yakin jualan hartanah semasa tempoh kawalan pergerakan sewajarnya agak memuaskan kerana pembeli boleh menandatangani perjanjian jual beli secara maya, manakala urusan setem oleh pihak berkuasa turut boleh dibuat secara dalam talian.
Katanya, Mah Sing bercadang melancarkan M Senyum di Sepang, Selangor dan M Astra di Setapak, Kuala Lumpur tidak lama lagi, pada suku keempat 2021 yang dijangka menyumbang kepada jualan hartanah.
RHB Investment Bank telah mengekalkan saranan 'Beli' ke atas syarikat itu dengan harga sasaran RM1.02, mewakili peningkatan 28 peratus. - Bernama