TNBtemujanji kurangkan waktu menunggu pelanggan

Iklan
Megat Jalaluddin

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperkenalkan perkhidmatan janji temu dalam talian baharu iaitu TNBtemujanji bagi mengurangkan waktu menunggu pelanggan ketika melakukan sebarang transaksi di Kedai Tenaga.

Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, ia merupakan satu platform digital yang membolehkan pelanggan membuat janji temu di 117 daripada 123 Kedai Tenaga di Semenanjung Malaysia.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pelanggan hanya perlu melayari portal myTNB (www.mytnb.com.my/TNBtemujanji) untuk memilih Kedai Tenaga dan menetapkan tarikh serta waktu lawatan sekurang-kurangnya satu hari bekerja lebih awal.

"TNB menawarkan lebih banyak nilai tambah kepada pelanggan sejajar dengan usaha kami dalam meneroka cara-cara baharu bagi memberikan kemudahan yang lebih baik untuk pelanggan berinteraksi.

Iklan

"Meskipun kami giat mendigitalkan pelbagai pilihan interaksi yang ditawarkan di Kedai Tenaga ke dalam platform myTNB, kami juga memahami bahawa terdapat pelanggan yang lebih suka untuk berinteraksi secara bersemuka.

TNBtemujanji, perkhidmatan baharu janji temu Kedai Tenaga TNB dalam talian myTNB portal.

Iklan

"Dengan adanya platform dalam talian bagi membuat janji temu, pelanggan dapat merancang jadual mereka dengan lebih baik berbanding terpaksa menunggu lama bagi giliran mereka. Ini juga adalah antara langkah keselamatan bagi melindungi pelanggan dan pekerja kami menerusi kawalan kumpulan yang lebih baik di Kedai Tenaga semasa pandemik ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Megat Jalaluddin berkata, TNBtemujanji menawarkan semua jenis transaksi yang boleh dilakukan di Kedai Tenaga termasuk permohonan bekalan, pembayaran balik deposit dan menyelesaikan isu pengebilan.

Tambah beliau, waktu janji temu boleh dipilih dari slot masa setiap 30 minit bermula jam 9 pagi sehingga 30 minit sebelum waktu operasi Kedai Tenaga berakhir dan akan menerima satu notifikasi pengesahan menerusi emel, SMS berserta kod QR janji temu.

"Mereka hanya perlu menunjukkan kod QR tersebut kepada pegawai Perkhidmatan Pelanggan. Pelanggan digalakkan untuk membawa bersama kad pengenalan dan bil elektrik mereka (salinan digital dari myTNB atau salinan fizikal).

"Bagaimanapun, kami menggalakkan semua pelanggan untuk mengambil langkah berjaga-jaga semasa pandemik ini dan memanfaatkan platform myTNB sebaik mungkin bagi mengurangkan interaksi bersemuka yang tidak penting,” ujarnya.