Kedai makan terbakar, peniaga rugi hampir RM50,000

Iklan
Mohd Johaimay melihat keadaan kedainya yang musnah terbakar di Taman PD Utama, Port Dickson pada Selasa.

PORT DICKSON - Seorang peniaga reda berdepan ujian apabila kedai makannya di Taman PD Utama, di sini musnah dalam kebakaran pada Selasa.

Kebakaran jam 1.22 pagi itu menyebabkan Mohd Johaimay Mohd Shueb, 43, mengalami kerugian dianggarkan lebih RM50,000.

Iklan
Iklan

Menurut Mohd Johaimay, dia mendapat maklumat mengenai kejadian itu selepas dihubungi oleh penduduk pada jam 1.30 pagi.

"Saya terus bangun dan bergegas ke kedai.

Iklan

Tapi bila saya sampai keseluruhan kedai sudah musnah dan bomba sedang melakukan kerja-kerja pemadaman api.

"Saya pun tak tahu apa puncanya. Seperti biasa sebelum menutup kedai saya akan pastikan semuanya dalam keadaan baik," katanya yang membuka kedai pada jam 3 petang sehingga jam 9.30 malam.

Iklan

Mohd Johaimay berkata, dia sudah berniaga di situ sejak 20 tahun lalu dan merupakan sumber pendapatan utamanya bersama isteri bagi menyara empat anak berusia antara tiga hingga 17 tahun.

"Tak tahu lah macam mana nak berniaga semula.

Sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu saya dan isteri dah rasa susah sangat kerana perniagaan kami merosot sehingga 50 peratus.

"Pendapatan kami para peniaga ini ibarat kais pagi, makan pagi.

Tapi kami tiada pilihan dan perlu terus berniaga untuk menampung hidup," katanya.

Sementara itu Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hairul Izam Mazelan berkata, bomba berjaya memadamkan kebakaran jam 1.40 pagi.

"Namun kedai jenis separuh kekal itu musnah 80 peratus. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.