Sidang DUN Johor diteruskan 22 Ogos

Iklan
SUHAIZAN KAIAT

JOHOR BAHRU - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan tetap disambung mengikut jadual pada 22 Ogos ini meskipun berlaku keadaan ketidaktentuan politik terutama di peringkat pusat.

Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berkata, tiada perubahan pada jadual persidangan DUN setakat ini.

Iklan
Iklan

"Ia akan disambung pada Ahad (22 Ogos) ini dan akan berlangsung selama empat hari iaitu sehingga 25 Ogos depan. Namun, tempoh persidangan hanya mengambil masa separuh hari hingga hari terakhir sidang," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan gelembung perjalanan khas bagi kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Suhaizan berkata, langkah itu antara yang akan dilakukan apabila sidang DUN disambung.

Iklan

"Kesemua 56 ADUN akan diberi pilihan menginap di tempat disediakan supaya tidak perlu balik ke kawasan masing-masing sepanjang empat hari persidangan," katanya.

Pada 12 Ogos lalu, Suhaizan menangguhkan Mesyuarat Pertama Persidangan Keempat DUN Johor ke-14 setelah selesai dirasmikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi membolehkan penilaian berkaitan prosedur operasi standard (SOP) persidangan dilakukan.

Iklan

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, penangguhan itu dibuat kerana perlunya pematuhan SOP dipertingkatkan bagi mengelakkan situasi di Parlimen baru-baru ini berlaku pada sidang DUN Johor kali ini.