SHAH ALAM - Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyerahkan 3,000 set sut peralatan perlindungan diri (PPE) terdiri daripada PPE Coveral Jumpsuit, pelindung muka, pelitup muka jenis N95, sarung tangan getah dan apron kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada Selasa.
Pengurus Besar YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah berkata, sumbangan barangan tersebut adalah kali yang kedua selepas serahan siri pertama sebanyak 1,000 set PPE bernilai RM 21,360 kepada Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad pada Julai lalu.
Menurutnya, sumbangan tersebut diserahkan kepada Timbalan Pengarah Operasi JAIS, Salwana Ahmad Dahlan.
"YIDE adalah agensi di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menjalankan kerja kebajikan bersama JAIS bagi membantu menyediakan kelengkapan bagi petugas-petugas yang menguruskan jenazah pesakit Covid-19.
"YIDE mengucapkan terima kasih kepada semua petugas di bawah seliaan JAIS yang menyempurnakan amanah ini walaupun menerima beberapa tohmahan daripada beberapa individu, tetapi mereka tetap melaksanakan tugas demi menunaikan tuntutan fardu kifayah,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Salwana mengucapkan terima kasih tidak terhingga atas keprihatinan YIDE menyalurkan sumbangan tersebut. Susulan itu, pihaknya akan mengagihkan set tersebut kepada setiap daerah di Selangor bagi tujuan pengurusan jenazah pesakit Covid-19.
Mengulas lanjut, Nur Mohd Razali mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang menyalurkan sumbangan kepada melalui Tabung Dana Musibah YIDE bagi membantu golongan sasar yang terkesan sepanjang PKP ini dilaksanakan.
Ujarnya, YIDE mengalu-alukan sumbangan orang ramai dengan terus ke platform digitalnya iaitu https://yide.com.my/donations/infaq-dana-musibah/ atau terus pindahan dalam talian melalui Bank Islam YIDE 1223 4010 0073 30.
"Setiap sumbangan semua layak mendapat pelepasan cukai di bawah subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967 melalui resit rasmi YIDE,” katanya.