Sumbangan kerusi roda semarakkan semangat atlet paralimpik Sabah

Iklan
Juliah menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada atlet paralimpik negeri Sabah, Muhamad Lizan di Rumah Yayasan Sabah, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Sumbangan kerusi roda diharap dapat menyemarakkan lagi semangat untuk atlet paralimpik Sabah untuk terus aktif dalam sukan sekali gus terus mewakili negeri ini.

Muhamad Lizan Mat Sittim, 28, yang juga atlet paralimpik bagi sukan pingpong berkata, sumbangan kerusi roda yang diterimanya daripada isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag amat dihargai.

Iklan
Iklan

"Kerusi roda yang diterima ini sesuai untuk sukan dan tahan lama mungkin empat hingga lima tahun boleh digunakan.

"Alhamdulillah dan saya berterima kasih kepada isteri ketua menteri atas sumbangan kerusi roda ini," katanya selepas menerima sumbangan itu di Rumah Yayasan Sabah pada Isnin.

Iklan

Beliau yang juga orang kurang upaya (OKU) aktif dalam sukan pingpong turut mewakili Sabah dalam Paralimpiad Perlis dan Sarawak selain mewakili negara dalam sukan pingpong di Sukan Para ASEAN 2017 serta meraih beberapa pingat dalam sukan terbabit.

Sementara itu, Juliah yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (Mutiara GRS) memaklumkan kerusi roda itu sesuai digunakan untuk tujuan sukan bagi atlet paralimpik.

Iklan

"Semoga dengan pemberian kerusi roda ini iaitu jenis Moov 2.0 Lightweight yang sesuai digunakan untuk sukan akan meningkatkan lagi semangat beliau sekali gus mengharumkan nama negeri ini dalam sukan hingga ke peringkat antarabangsa.

"Saya juga berharap semangat yang dimiliki Muhamad Lizan akan menjadi pendorong kepada atlet paralimpik lain di Sabah untuk bersama mengharumkan nama negeri ini," katanya.

Hadir sama, Penguasa Kompleks Pemulihan Orang Kurang Upaya (KLPOKU) Kimanis, Papar, Dayangku Suhaila Pg Suhaimi; Pembantu Tadbir KLPOKU, Rafidah Dahali dan Jurulatih KLPOKU, Safwanizam Suhaibul.