Dua sindiket dadah tumpas, syabu RM3.89 juta dirampas

Iklan
Arjunaidi (tengah) menunjukkan wang tunai yang disita

SHAH ALAM - Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah dengan tertangkapnya 17 orang suspek bersama 108.09 kilogram (kg) syabu yang dianggarkan bernilai RM3.89 juta dalam dua siri serbuan berasingan di Batu Caves dan Ampang pada 6 serta 8 Ogos lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kedua-dua sindiket itu dipercayai memperoleh bekalan dari negara jiran dan bergerak aktif sejak setahun lalu dengan menumpukan pengedaran di sekitar kawasan Lembah Klang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam serbuan pertama, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menahan tiga lelaki sekitar jam 3 petang di Batu Caves sebelum memberkas empat lagi suspek di lokasi berlainan.

"Tiga lelaki ditahan di sebuah kawasan perumahan di Batu Caves bersama 97 bungkusan hijau berisi dadah dalam sebuah kereta jenis Perodua Bezza disyaki syabu yang dianggarkan seberat 100.74kg,” katanya pada sidang akhbar secara maya pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata, semakan ke atas kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 26 hingga 48 tahun itu mendapati lima daripada mereka mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah manakala tiga lagi positif dadah jenis opiate serta THC.

Beliau berkata, dalam serbuan kedua, polis menahan empat suspek termasuk dua wanita di lot parkir sebuah pasaraya di Ampang pada 10 Ogos lalu sebelum menangkap lima lelaki dan seorang wanita di enam lokasi berbeza di sekitar Pulau Pinang.

Iklan

"Pasukan JSJN Bukit Aman menahan dua buah kenderaan jenis Toyota Estima dan Volkswagen Passat serta merampas tujuh bungkusan plastik ‘Guanyinwang’ yang mengandungi bahan disyaki syabu dianggarkan seberat 7.35kg.

"Kesemua suspek berumur antara 27 hingga 65 tahun. Semakan mendapati tujuh suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah manakala saringan awal air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis syabu,” katanya.

Arjunaidi berkata, nilai sitaan aset dan wang tunai dalam dua serbuan tersebut mencecah RM1.43 juta yang terdiri daripada kenderaan mewah, barang kemas dan jam tangan mewah dengan nilai mencecah ribuan ringgit setiap satu.

"Antara aset yang dirampas, kereta jenis Toyota Camry, Caldina, Vios, Vellfire, Mercedes Benz, Audi A6, BMW, Proton Preve dan Perodua Myvi. Turut dirampas barang kemas bernilai RM37,570 dan tiga utas jam tangan bernilai RM 85,000,” ujarnya.

Menurutnya, kesemua suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan tidak kurang 15 sebatan.