SHAH ALAM - Menggalas tugas sebagai Menteri Kanan Pendidikan dalam waktu pandemik Covid-19 bukanlah sesuatu yang mudah.
Perkara itu diakui sendiri oleh Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
"Sejujurnya, menguruskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam waktu pandemik Covid-19 bukanlah sesuatu yang mudah. Tidak ada sesiapa pun di antara kami di kementerian atau di luar sana pernah melaluinya.
"Sebab itu kami amat teliti dalam membuat sebarang perancangan. Setiap keputusan dibuat berdasarkan perbincangan yang amat mendalam selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak," katanya dalam satu perkongsian di Facebook pada Selasa.
Mohd Radzi menyifatkan peluang yang diberikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (ketika itu) untuk beliau mengemudi sebuah kementerian yang memainkan peranan amat besar dalam membangunkan generasi pewaris negara sangat-sangat dihargai.
"Semalam (Isnin) merupakan hari terakhir saya berkhidmat di kementerian. Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah memberi kepercayaan kepada saya mengemudi sebuah kementerian yang memainkan peranan amat besar dalam membangunkan generasi pewaris negara. 'Thank you very much, Sir!'," katanya.
Menurutnya, setiap detik sepanjang 18 bulan itu adalah amanah yang perlu digunakan sebaiknya untuk melakukan penambahbaikan kepada ekosistem pendidikan negara.
"Dari hari pertama menjejakkan di kementerian, saya telah menyatakan kepada warga KPM bahawa saya adalah seorang pekerja sepertimana mereka. 'Yang membezakan kita cuma nama kerja saya iaitu, Menteri'.
"Saya berada di kementerian bukan untuk menjadi popular. Tetapi untuk saya melakukan perkara yang betul mengambil kira data dan maklumat yang ada serta analisis yang dibuat.
"Secara peribadi saya merasakan bahawa setiap detik saya di kementerian dalam tempoh 18 bulan yang lalu telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk melakukan yang terbaik demi generasi pewaris negara," ujar beliau.
Mohd Radzi berkata, banyak perkara tunjang di KPM yang berlarutan bertahun lamanya dapat diselesaikan dan ada sebahagiannya sedang diselesaikan.
Jelasnya, prinsipnya mudah.
"Jika niat kita ikhlas dan kita ikhtiarkan sebaiknya untuk menyelesaikan sesuatu perkara, Insya-ALLAH sesukar mana sekalipun penyelesaiannya, ALLAH akan membuka jalan untuk kita.
"Ada yang dicapai dalam masa yang singkat dan ada yang mungkin memerlukan masa yang lebih panjang. Sekiranya apa yang telah diikhtiar dengan terbaiknya itu tidak berjaya seperti yang dihasratkan, tentu ada hikmah di sebaliknya.
"Apa pun, saya selalu berpesan kepada warga KPM 'nothing beats hard work!," katanya.
Menurutnya, selain menyelesaikan isu yang telah lama berlarutan, banyak juga penambahbaikan yang telah dan sedang dilaksanakan.
"Insya-ALLAH, sekiranya segala perancangan dan usaha yang ditinggalkan dapat diteruskan sebaiknya, kita boleh melonjakkan kualiti pendidikan negara ke tahap yang jauh lebih tinggi," katanya.
Pada masa sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada dua pendukung utamanya di KPM iaitu Ketua Setiausaha, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid atas jasa baik dan usaha gigih mereka berdua.
"Terima kasih juga saya ucapkan kepada seluruh kakitangan kementerian, jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah yang bertungkus lumus untuk memastikan segala perancangan dapat berjalan dengan baik. Sebagai panglima perang di waktu krisis, mungkin ada yang tersinggung dengan tindakan atau ketegasan saya. Maafkanlah saya.
"Untuk guru-guru, terima kasih atas bakti dan keringat yang dicurahkan dalam tempoh sukar ini. Semua dalam kalangan kita tidak pernah melalui situasi sebegini, jadi kita sentiasa sama-sama berikhtiar untuk dapatkan penyelesaian terbaik," katanya.
Beliau langsung tidak menafikan, masing-masing telah berusaha sehabis baik untuk memastikan anak-anak murid dapat terus belajar dalam keadaan selamat, tidak kira sama ada secara bersemuka atau Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)
Tambahnya, perkara yang penting adalah murid terus mendapat akses kepada pendidikan.
"Kepada ibu bapa, sesungguhnya saya telah ikhtiarkan yang terbaik untuk anak-anak kalian dalam tempoh yang penuh cabaran ini.
"Kepada guru, saya tidak pandai beretorik. Tapi yakinlah dan tanyalah rakan-rakan di kementerian, saya telah usahakan yang terbaik untuk kalian dalam tempoh yang amat sukar ini.
"Kepada anak-anak, pak cik doakan yang terbaik buat semua. Jangan lupa doakan pak cik!" tulis beliau.
Katanya, amanah mengemudi KPM telah beliau pikul dengan seikhlas hati tanpa sekelumit niat lain selain daripada melihat kualiti pendidikan negara dapat dilonjakkan ke peringkat yang jauh lebih tinggi.
"Kini, dengan kadar vaksinasi yang semakin meningkat, negara hampir keluar daripada kemelut pandemik Covid-19. Tempoh persinggahan yang dizinkan ALLAH di KPM akhirnya tamat semalam.
"Akhir kalam, saya menginsafi bahawa saya cuma dipinjamkan oleh ALLAH SWT untuk mengemudi KPM dalam tempoh yang amat sukar dan tidak pernah dilalui oleh mana-mana Menteri Pendidikan sebelum ini," kata beliau.