BATU PAHAT - Sistem perparitan yang dipenuhi sampah sarap dan tidak diselenggara di Sungai Kangkar Senangar, di sini, menyebabkan penduduk terutamanya mereka yang tinggal berhampiran sungai tersebut hidup dalam kegusaran.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kangkar Senangar, Azmi Suradi berkata, parit dan sungai yang sepatutnya berfungsi sebagai pencegah banjir banyak tersumbat akibat sikap penduduk yang membuang sampah sesuka hati selain keadaan sistem perparitan yang tidak diselenggara.
"Parit-parit yang berhubung dengan Sungai Kangkar Senangar ini pun kebanyakannya sudah sempit dan ada parit yang sudah menjadi tempat pembuangan sampah haram sehingga menyekat aliran air ketika hujan sehingga menyebabkan banjir.
"Manakala Sungai Kangkar Senangar ini pula sudah cetek dan mula ditumbuhi lalang dan rumput sehingga permukaannya menjadi semak dan kalau hujan lebat kira-kira setengah jam pun sudah boleh banjir,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, keadaan itu juga menyebabkan beberapa kampung rangkaian di kawasan pentadbirannya menghadapi fenomena air termenung dan keadaan itu berlarutan sehingga lima hingga enam bulan lamanya sebelum air surut sepenuhnya.
Sementara itu, Pengerusi MPKK Parit Pulai, Misbah Selamat berkata, sungai tersebut yang melalui kampungnya dan berhubung terus dengan Sungai Parit Sulong itu sudah tidak diselenggara hampir tiga tahun.
"Orang kampung juga sudah mula bising melihat keadaan ini dan saya juga sudah beberapa kali berhubung dengan pihak yang bertanggungjawab agar masalah ini dapat diatasi segera sebelum keadaan bertambah parah dan melibatkan kos yang besar.
"Kalau dilihat, keadaan sungai ini juga berbau busuk dan mungkin tercemar kerana aktiviti-aktiviti perindustrian dan penternakan sehingga hasil-hasil sungai turun dengan mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.
Misbah berkata, masalah itu bukan hanya berlaku di kampungnya sahaja tetapi turut melibatkan beberapa kampung berhampiran yang mempunyai sistem saliran parit yang sama.
Katanya, beliau juga mengakui tidak mampu untuk membersihkan sungai sepanjang kira-kira 10 kilometer ini meskipun dilakukan secara bergotong-royong kerana melibatkan jentera berat dan kos tinggi dan berharap masalah tersebut mendapat perhatian yang sewajarnya.