Sultan Kedah dukacita kes Covid-19 kekal empat angka

Iklan
Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan dukacita dengan kadar jangkitan Covid-19 baharu yang dilaporkan setiap hari di negeri ini yang kekal menunjukkan jumlah empat angka sejak hampir sebulan lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Bakar Din berkata, baginda menegaskan, kerajaan harus memberi pertimbangan wajar untuk memperluaskan vaksinasi kepada populasi yang layak di negeri ini memandangkan hanya kaedah berkenaan yang dilihat berkesan dalam mengawal kadar jangkitan baharu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sehingga 16 Ogos 2021, hanya 31.8 peratus populasi dewasa yang berumur 18 tahun ke atas lengkap dengan dua dos vaksinasi di negeri ini manakala 55 peratus memperoleh satu dos vaksinasi.

"Ini menunjukkan, sekiranya suatu langkah yang serius tidak diambil, Kedah mungkin akan lewat mencapai imuniti kelompok seperti yang dihasratkan.

Iklan

"Sehubungan itu, baginda menyeru hospital-hospital swasta, klinik-klinik pengamal perubatan am serta seluruh badan-badan korporat dan swasta turut sama berganding bahu dengan memberikan sokongan, bantuan serta sumbangan yang sesuai dengan fungsi, peranan dan kemampuan masing-masing bagi memangkin peningkatan kadar vaksinasi," katanya dalam satu kenyataan menerusi Pejabat Tuanku Sultan Kedah pada Selasa.

Bakar berkata, baginda juga bertitah agar kerajaan Persekutuan dapat membekalkan jumlah vaksin yang lebih banyak supaya Kedah dapat mencapai imuniti kelompok dengan lebih awal serta sektor ekonomi dapat dipulihkan dengan lebih cepat.

Iklan

Menurutnya, baginda juga turut menzahirkan penghargaan buat semua petugas-petugas barisan hadapan dan sukarelawan di hospital-hospital dan pusat-pusat pemberian vaksin Covid-19 (PPV) di seluruh Kedah yang sedang bertungkus-lumus menjalankan tugas yang diamanahkan.

"Baginda berbangga dengan kegigihan mereka dalam menjalankan tugas tanpa penat dan lelah dan mendoakan agar pengorbanan mereka ini akan mendapat ganjaran yang setimpal di sisi Tuhan.

"Selain itu, Baginda turut bertitah agar semua rakyat Kedah dapat menjaga diri dan keluarga masing-masing supaya terhindar daripada dijangkiti Covid-19. Sentiasalah mengamalkan SOP dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dari masa ke masa," ujarnya.