KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai barangan seludup dianggarkan bernilai RM293.3 juta di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, nilai rampasan berkenaan lebih tinggi berbanding sejumlah RM102.6 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Beliau berkata, antara barangan seludup yang dirampas termasuk rokok, arak, daging beku dan pelbagai kenderaan.
"Dari segi tangkapan pula, 1,024 individu ditahan dari Januari hingga Julai tahun ini berkaitan kes penyeludupan. Daripada jumlah itu, 814 individu merupakan warga tempatan manakala selebihnya adalah warga asing antaranya Indonesia dan Filipina.
"Bagi tempoh sama tahun lepas, seramai 996 individu telah ditahan berkaitan kegiatan penyeludupan melibatkan warga tempatan dan warga asing,” katanya dalam wawancara khas di Ibu pejabat polis Bukit Aman di sini.
Zainal Abidin menjelaskan rampasan barangan seludup dan penahanan individu berkaitan kes berkenaan bukan sahaja dilakukan di sempadan-sempadan negara tetapi juga di kedai runcit atau stor barangan yang dipercayai menyimpan dan memiliki barangan seludup atau tidak dibayar cukai.
"Dalam operasi pembanterasan kegiatan penyeludupan rokok di Sarawak pula, RM225,400 wang tunai dirampas dan 42 individu ditahan kerana cuba memberi sogokan kepada pihak berkuasa antara 2015 hingga April 2021," katanya.
Mengulas sama ada Pasukan Gerakan Udara (PGU) hanya melakukan penugasan rondaan keselamatan sempadan, Zainal Abidin berkata, PGU turut memainkan peranan dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK).
"PGU tidak terhad kepada jaga keselamatan sempadan sahaja malah penugasan OBK turut dilaksanakan seperti mengekang pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar antaranya melibatkan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara. - Bernama