Lebih 14,300 individu terjejas Covid-19 terima bantuan Asean Cares

Iklan
Bantuan bekalan makanan asas dan pakej kesihatan diagihkan kepada lebih 14,300 individu terjejas akibat wabak Covid-19 di Malaysia dan Thailand melalui Asean Cares.

SHAH ALAM - Syarikat sains global, 3M dengan kerjasama United Way Worldwide dan Asean Foundation melalui program Asean Covid-19 Active and Robust Response (Asean Cares) mengagihkan bantuan bekalan makanan asas dan pakej kesihatan kepada lebih 14,300 individu terjejas akibat wabak Covid-19 di Malaysia dan Thailand.

Ketua 3M Malaysia, GT Lim berkata, program itu berjaya melangkaui jumlah benefisiari asal yang disasarkan sebanyak 84 peratus, yakni 9,237 individu terdedah dengan risiko di Johor, Kuala Lumpur, Sabah dan Selangor.

Iklan
Iklan

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 55 peratus ialah wanita dan lebih 4,000 benefisiari merupakan golongan migran, pelarian dan komuniti orang asli.

"Di Thailand, 5,100 individu di wilayah Nonthaburi dan Pathum Thani dibekalkan kit bantuan dengan 63 peratus ialah wanita dan lebih 2,000 benefisiari merupakan golongan migran, pelarian serta golongan yang kurang mendapat perhatian.

Iklan

"Pada tahun lalu, kita terpaksa menyaksikan ramai keluarga bergelut demi kelangsungan hidup kerana landskap pekerjaan yang terjejas dan ada antara mereka hanya mengambil upah harian.

"Oleh itu, kami telah merangka pelan tindakan sewajarnya kerana kami di 3M mempunyai komitmen yang jelas ke atas prinsip memperbaiki kehidupan masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Sementara itu, Naib Presiden United Way Worldwide Asia Tenggara, Korea dan Jepun, Hooyung Young berkata, sumbangan bernilai AS$169,000 oleh 3M disalurkan untuk membantu lebih 5,000 individu dalam komuniti terpinggir di Malaysia dan Thailand.

Tambahnya, mereka turut berganding bahu dengan organisasi sosial tempatan untuk mengagihkan bantuan kepada populasi paling terjejas di kedua-dua negara dan menyebarkan kesedaran mengenai Covid-19.

"Saya sukacita Asean Cares berjaya dilancarkan untuk membantu individu dan komuniti di Malaysia dan Thailand sejajar dengan United Way Covid-19 Community Response and Recovery Fund,” ujarnya.

Menurut Pengarah Eksekutif Asean Foundation, Dr Yang Mee Eng pula, peranan rakan pengaktifan tempatan di Malaysia seperti EcoKnights, The Lost Food Project dan Treat Every Environment Special, manakala di Thailand, Buapetch Rescue Association, Pathum Thani Provincial Public Health Volunteer Association dan Public Health Co-ordinate Association amat mustahak dalam menjamin kejayaan program itu.

"Mereka telah membanting tulang dalam mengagihkan makanan dan pakej kesihatan kepada golongan memerlukan berdasarkan protokol kesihatan yang digariskan kerajaan,” katanya.