UCSI lancar Pusat Kajian Polisi STI Tan Sri Omar Abdul Rahman

Iklan
Majlis Pelancaran Pusat Kajian Polisi Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Tan Sri Omar Abdul Rahman secara maya pada Selasa.

SHAH ALAM – Universiti UCSI melancarkan Pusat Kajian Polisi Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Tan Sri Omar Abdul Rahman, dalam usaha memperkukuhkan agenda sains, teknologi dan inovasi sosial kebangsaan ke arah Malaysia yang harmoni, makmur, progresif serta lestari.

Penubuhan pusat tersebut bertujuan untuk menjadi juara dalam mempromosikan agenda berkaitan STI, penasihat hala tuju kepada pelbagai jawatankuasa atau agensi dalam memacu dasar STI, merapatkan jurang antara komuniti saintifik dengan masyarakat dalam STI, merancang polisi STI dan mendidik serta melaksanakan polisi-polisi tersebut.

Iklan
Iklan

Penaungnya, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Omar Abdul Rahman yang merupakan ahli akademik berpengalaman berkata, pusat tersebut turut akan bertanggungjawab untuk menganjurkan penubuhan Majlis Tindakan STI Kebangsaan.

"Pusat ini akan berusaha untuk mencapai matlamat dengan meningkatkan kesedaran, beri pemahaman, mendorong komitmen, mengesyorkan tindakan yang wajar dan mewajibkan penilaian.

Iklan

"Tapi cabaran terbesar ialah pelaksanaannya. Menterjemahkan niat kepada tindakan dan berjaya itu memerlukan kapasiti yang optimum melibatkan semua pihak,” katanya ketika melancarkan pusat tersebut secara maya pada Selasa.

Omar berkata, apabila Universiti UCSI memutuskan untuk menubuhkan pusat untuk kajian polisi STI, beliau menyifatkan ia sebagai mimpi yang menjadi kenyataan.

Iklan

"Dinamakan sempena nama saya pula, ini merupakan satu penghormatan dan saya sangat berterima kasih kepada pihak universiti,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Naib Canselor Universiti UCSI, Datuk Peter Ng berkata, penubuhan pusat itu bersesuaian dengan keadaan hari ini di mana Malaysia sedang berdepan dengan impak pandemik Covid-19.

"Setahun lebih telah berlalu menunjukkan polisi STI diperlukan bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

"Penubuhan pusat ini akan memacu usaha mereka selain menghubungkan kenalan-kenalan dari seluruh dunia. Saya ingin memuji usaha universiti yang mengambil inisiatif ini,” katanya.

Jelas beliau, penubuhan pusat tersebut bakal menjadi satu lagi landasan yang tidak ternilai bagi staf serta pelajar UCSI.