Bangunan Pusat Ilmu Falak Sheikh Tahir diarah tutup

Iklan
Tebing bangunan Pusat Ilmu Falak Sheikh Tahir mengalami tanah runtuh pada Isnin.

GEORGETOWN - Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang telah menasihatkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) untuk menutup dan tidak menggunakan bangunan Pusat Ilmu Falak Sheikh Tahir di Balik Pulau dekat sini yang tebingnya mengalami tanah runtuh pada Isnin buat sementara waktu.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, ia berikutan bangunan yang terletak bersebelahan tebing yang mengalami tanah runtuh termasuk tiga batu besar menggelongsor di situ, tidak selamat diduduki ketika ini.

Iklan
Iklan

"JKR telah maklumkan kepada JHEAIP berhubung perkara itu (tidak selamat) dan meminta untuk tutup serta tidak menggunakannya buat sementara waktu, sehingga kerja-kerja membaiki tebing yang runtuh tersebut selesai dan ia selamat diduduki semula,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Pada Isnin, pihak bomba memaklumkan bangunan Pusat Ilmu Falak Sheikh Tahir tidak selamat untuk diduduki, selepas berlaku kejadian tiga batu besar menggelongsor sehingga menyebabkan tanah runtuh di kawasan tebing bangunan itu, selepas hujan lebat lebih sejam di situ.

ARTIKEL BERKAITAN: Bangunan Pusat Ilmu Falak Sheikh Tahir tidak selamat diduduki

Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Balik Pulau, Mohd Faris Idris dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung tanah runtuh pada jam 2.30 petang itu, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut.

Sementara itu, Zairil berkata, JKR akan menggunakan kaedah yang lebih berdaya tahan iaitu 'tieback wall' bagi membaiki cerun di kawasan berkenaan, untuk menjamin keselamatan dan kestabilan tebing yang terlibat dalam insiden tanah runtuh itu.

Iklan

Katanya, kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih tebing yang terlibat dengan kejadian berkenaan juga akan dilantik dalam masa terdekat.

"Kaedah ‘stone pitching’ yang digunakan sebelum ini tidak cukup kuat untuk memberi perlindungan kepada tebing itu, jadi JKR akan baiki cerun tersebut dengan menggunakan kaedah yang lebih berdaya tahan iaitu 'tieback wall',” katanya. - Bernama