SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada Presiden Parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menentukan calon Perdana Menteri kesembilan seterusnya membincangkan perkara itu dengan semua parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang diadakan pada 16 Ogos lalu.
Katanya, selepas mesyuarat itu juga, satu perbincangan turut diadakan membabitkan ahli-ahli Parlimen Bersatu untuk mengambil kira pandangan mereka berhubung pemilihan calon tersebut.
"Jadi proses dalam Bersatu ini adalah satu konsultatif yang telus dan melibatkan semua pihak berkepentingan.
"Kami rasakan inilah yang sebaiknya kerana dalam Bersatu, kita sentiasa mencari kata sepakat supaya kita bergerak dalam satu pasukan yang harmoni.
"Semua input-input ini telah dibentangkan kepada Presiden dan kita serahkan sepenuh kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin sebagai Presiden parti untuk membuat keputusan akhir yang sudah pasti akan diumumkan apabila tiba masanya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Wan Saiful dalam masa sama turut berharap semua ahli parti bertenang dan memberi kepercayaan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.
"Saya juga menyeru semua rakyat agar memberikan kepercayaan penuh kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan yang betul berdasarkan Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Pada Selasa semua ketua dan wakil parti dititahkan untuk menghadap Yang di-pertuan Agong pada pukul 2 petang.
Difahamkan perjumpaan itu diadakan susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri.
Muhyiddin melepaskan jawatan selepas tidak lagi mendapat sokongan majoriti susulan 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya sebelum ini.