FAM senarai pasukan terbaik ke kelayakaan Piala Asia AFC B-23

Iklan
Hamidin Mohd Amin

SELEPAS terlepas aksi kelayakan ke Kejuaraan Bawah-23 AFC 2020, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu memastikan skuad negara mengesahkan slot bagi edisi seterusnya, yang dikenali sebagai Piala Asia AFC B-23 2022 di Uzbekistan, pada Jun tahun depan.

Bagi mencapai hasrat itu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya akan membariskan pasukan terbaik menjelang pusingan kelayakan yang bakal berlangsung di Mongolia bermula 27 hingga 31 Oktober ini.

Iklan
Iklan

Namun beliau berkata, wujud kebimbangan skuad kendalian Brad Maloney tidak dapat membariskan pemain terbaik kerana tempoh kejohanan itu tidak berada dalam jendela FIFA, untuk mewajibkan kelab melepaskan pemain yang disenaraikan.

"Contohnya pemain seperti Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk), Arif Aiman Hanapi (Johor Darul Ta’zim) dan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC). Sebahagian besar pemain beraksi di Liga Premier dan Liga Super, ada juga yang beraksi di luar negara.

Iklan

"Kalau kelab tersebut melepaskan, kita akan guna pemain-pemain ini. Jika kelab perlukan khidmat mereka, itu hak mereka sebagai majikan, selain kita akan melihat pemain-pemain muda yang berpotensi untuk bermain,” katanya pada sidang media dalam talian selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM, pada Selasa.

Bagi kempen kelayakan itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan J bersama Thailand, Mongolia dan Laos, dengan hanya 11 juara kumpulan dan empat naib juara daripada 42 pasukan, akan layak ke pusingan akhir kejohanan itu, yang sebelum ini turut dikenali sebagai Kejuaraan B-22 AFC ketika diperkenalkan pada 2014.

Iklan

Malaysia yang membuat penampilan sulung pada edisi 2018 di China, berjaya mencipta kejutan mara ke suku akhir sebelum tewas tipis 1-2 kepada Korea Selatan, sekali gus gagal layak ke edisi 2020 di Thailand.

Pada pusingan kelayakan berlangsung pada Mac 2019, Malaysia menamatkan saingan di tempat kedua Kumpulan J, walaupun berkongsi tujuh mata dengan tuan rumah China yang muncul juara kumpulan, sekali gus terlepas aksi kelayakan kejohanan tersebut. - Bernama