PEMAIN badminton beregu wanita negara, Chow Mei Kuan menganggap keputusan beliau untuk bersara daripada arena badminton adalah 'satu keputusan yang paling sukar' diambilnya.
Pemain berumur 26 tahun itu berkata, selepas 17 tahun berada dalam arena sukan itu, beliau akhirnya perlu memuktamadkan keputusan untuk melangkah maju untuk beralih kepada cabaran seterusnya.
Dalam catatan Instagram beliau pada Rabu, pemain yang berasal dari Kuala Lumpur itu mengambil kesempatan untuk menyuarakan penghargaan kepada semua anggota keluarganya yang banyak membantu, di samping turut sama berkorban, dan memberi tunjuk ajar serta sokongan.
Mei Kuan turut menyuarakan penghargaan kepada sokongan yang diberikan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Majlis Sukan Negara (MSN), jurulatih, petugas, rakan seperjuangan serta regunya, yang sama menyumbang inspirasi dan sokongan.
"Tanpa anda semua, pasti saya tidak akan dapat mencapai impian Olimpik saya. Saya benar-benar menghargainya dan sentiasa akan mengingatinya.
"Saya amat berterima kasih terhadap bantuan, sokongan dan ihsan anda semua. Saya terima banyak pesanan sejak semalam. Saya minta maaf sekiranya tidak dapat membalas semua pesanan itu, ia benar-benar amat berharga kepada saya, di saat yang benar-benar saya perlukan. Terima kasih,” katanya.
BAM dalam kenyataan pada Selasa berkata, mereka telah cuba memujuk pemain itu untuk kekal dalam arena badminton, namun gagal, dan mereka telah menerima keputusan beliau untuk bersara, berkuat kuasa 15 September depan.
Bersama regunya Lee Meng Yean, pasangan itu menghadapi laluan penuh cabaran dalam penampilan di Olimpik Tokyo baru-baru ini.
Mereka tersingkir dalam saingan peringat kumpulan dan mencatatkan hanya satu kemenangan daripada tiga perlawanan, menewaskan pasangan Britain Chloe Birch-Lauren Smith dalam Kumpulan A.
Selain Meng Yean, Mei Kuan turut berpasangan dengan beberapa pemain seperti Vivian Hoo, Lai Pei Jing dan Shevon Lai Jemie sepanjang kariernya sejak menyertai pasukan kebangsaan 2012.
Kejayaan terbesar Mei Kuan adalah pada 2018 apabila beliau meraih pingat emas dalam acara beregu wanita bersama dengan Vivian di Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, selepas menewaskan pasangan Lauren Smith-Sarah Walker dari England dengan 21-12, 21-12. - Bernama