Pejuang sokong calon majoriti, asal bukan 'kluster mahkamah'

Iklan
Mukhriz Mahathir

KUALA LUMPUR - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan menyokong sesiapa sahaja yang mempunyai majoriti untuk jawatan Perdana Menteri asalkan calon itu bukan daripada ‘kluster mahkamah’, kerana memerangi rasuah menjadi prinsip utama parti, kata Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, parti itu akan memuktamadkan ahli Parlimen yang mempunyai majoriti untuk dilantik menjadi calon Perdana Menteri pada Rabu.

Iklan
Iklan

"Kami sedang berbincang dengan pihak lain, kita akan cuba mendapatkan seorang calon yang mempunyai majoriti, jadi hasil perbincangan itu belum dimuktamadkan dan saya rasa esok kita akan tahu," katanya ketika ditemu bual oleh Awani pada Selasa.

Beliau juga mengesahkan Pejuang tidak akan mencalonkan ahli Parlimen daripada parti itu sendiri kerana Pejuang hanya mempunyai empat kerusi di Parlimen.

Iklan

Menjawab soalan adakah Pejuang akan menyokong nama yang disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Mukhriz berkata:

"Kita terbuka kepada ketiga-tiganya, tapi keutamaan kami tentu bersama PH (Pakatan Harapan), jadi calon pertama dan kedua adalah yang kami beri tumpuan ketika ini," katanya.

Iklan

Mengulas mengenai pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong siang tadi katanya, titah Seri Paduka Baginda supaya semua parti mencari satu titik pertemuan dan menumpukan usaha menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi sangat tepat pada ketika ini.

Pada Selasa, ketua-ketua parti menghadiri pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara bermula jam 2 petang susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri pada Isnin.

Selain Presiden Pejuang, antara yang hadir ialah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Turut dipanggil menghadap Presiden PKR, Anwar; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; dan Presiden Warisan, Mohd Shafie, manakala semua presiden parti komponan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghadiri pertemuan itu secara maya.

Sementara itu Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, parti itu menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada Muhyiddin sebagai presiden untuk membuat keputusan akhir yang akan diumumkan apabila tiba masanya.

Katanya, Majlis Pimpinan Tertinggi telah berbincang mengenai pembentukan kerajaan dan calon perdana menteri pada Isnin sejurus selepas Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan.

"Hasil perbincangan itu diangkat ke perbincangan dengan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN) dan Ahli-ahli Parlimen Bersatu untuk mengambil kira pandangan mereka. Kita telah mengambil kira semua pandangan mengenai calon Perdana Menteri dalam mesyuarat itu," katanya dalam satu kenyataan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, parti itu telah bersedia dengan akuan bersumpah (SD) semua ahli Parlimen parti untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Pas juga menyambut baik saranan Seri Paduka Baginda agar keutamaan kesejahteraan negara dan rakyat perlu diberi keutamaan sehinggalah keadaan mengizinkan untuk diadakan PRU-15," katanya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam satu notis meminta Ahli-ahli Dewan Rakyat menyerahkan satu SD memilih calon perdana menteri kesembilan.

Surat akuan itu perlu diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya sebelum 4 petang Rabu atau ia tidak akan diambil kira. - Bernama