Kerusi roda baharu lonjak semangat ke Paralimpik Tokyo

Iklan
Abu Samah Borhan

KERUSI roda baharu diperoleh sejak hujung tahun lepas ternyata membakar semangat atlet para negara Abu Samah Borhan untuk menampilkan aksi terbaik sekali gus mara lebih jauh pada Sukan Paralimpik Tokyo yang dijadual berlangsung dari 24 Ogos hingga 5 September ini.

Atlet tenis kerusi roda berusia 36 tahun itu menarik perhatian bahawa 'jentera' yang dihasilkan di Jepun melalui peruntukan khas Majlis Sukan Negara (MSN) itu telah memberi impak kepada prestasinya sehingga berjaya muncul naib juara pada Kejohanan Terbuka MTA 2021 di Turki, April lepas.

Iklan
Iklan

Abu Samah terpaksa akur kepada lawannya dari Jepun, Tokito Oda yang mengatasinya 7-5, 6-3 untuk merangkul kejuaraan pada aksi final.

Bukan itu sahaja, pemenang pingat emas Sukan Para ASEAN 2017 di Kuala Lumpur itu juga layak ke separuh akhir Terbuka Mega Saray juga di Turki pada bulan sama, sehinggakan berjaya melonjak ke tangga ke-37 daripada 42 dunia, yang merupakan kedudukan terbaiknya pada April lepas.

Iklan

Beliau yang semakin serasi dengan kerusi rodanya itu berharap dapat meningkatkan prestasi khususnya dari segi pergerakan dan ketangkasannya ketika membawa cabaran negara di Ariake Tennis Park, venue tenis kerusi roda di Sukan Paralimpik Tokyo.

"Terdapat banyak penambahbaikan kerusi roda yang direka khas untuk saya berbanding sebelum ini dengan saiz tayar sedikit besar iaitu bersaiz 27 daripada 26 serta rekaan kerusi mengikut ukuran badan saya.

Iklan

Setakat ini, saya selesa menggunakannya dan harap ia dapat membantu aksi di Tokyo nanti,” katanya ketika ditemui Bernama pada Selasa.

Bapa kepada seorang anak lelaki berusia 10 tahun itu turut berharap agar undian yang bakal diadakan pada 25 Ogos ini berpihak kepadanya selain mengelak daripada berentap dengan pilihan utama bagi memudahkan laluan ke peringkat seterusnya.

Pemain kelahiran Tanjung Malim, Perak itu juga tekad untuk memperbaiki pencapaiannya ketika membuat kemunculan pertama Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil, lima tahun lepas.

Beliau yang terkandas seawal pusingan pertama di Rio 2016 itu di tangan pemenang pingat perak, Alfie Hewett dari Great Britain, dengan keputusan 0-6 dan 1-6, kini mengintai peluang untuk mara sekurang-kurangnya ke pusingan ketiga dalam saingan di negara matahari terbit itu.

Abu Samah yang patah tulang belakang akibat kemalangan jalan raya pada 2006 mengaku peluang untuk meraih pingat buat negara agak sukar, namun sebaliknya hanya mahu memperagakan aksi terbaiknya dalam penampilan keduanya di Sukan Paralimpik nanti. -Bernama

Berikut adalah profil Abu Samah:

Nama penuh: Abu Samah Borhan

Umur: 36 tahun

Tarikh lahir: 27 Februari 1985

Tempat lahir: Tanjung Malim, Perak

Hobi: Bermain alat muzik

Pencapaian terbaik: Juara Piala Eureka Terbuka Taiwan 2020, Juara Nottingham Futures 2019 dan Juara Terbuka Jepun 2013

Idola: Shingo Kuneida (Jepun)