KUALA LUMPUR - Mesyuarat ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebulat suara memilih calon UMNO yang bersih daripada sebarang kes sebagai calon Perdana Menteri.
Perkara itu dinyatakan oleh Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin tanpa menamakan individu tersebut.
Iklan
Iklan
"(Calon Perdana Menteri) Dari UMNO, sebulat suara. Ini dicadangkan oleh Presiden. Calon yang diterima oleh rakyat," katanya kepada media ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato' Onn, di sini pada Selasa.
Beberapa pemimpin UMNO lain yang keluar dari bangunan turut memberikan bayangan keputusan telah dibuat namun menyerahkan kepada pimpinan tertinggi untuk mengumumkannya.
Ahli-ahli Parlimen UMNO bermesyuarat bagi membincangkan nama calon Perdana Menteri susulan semua ahli Parlimen diarahkan menghantar surat akuan berkanun kepada Istana Negara dan menamakan calon Perdana Menteri kesembilan.
Ahli Parlimen diberikan masa sehingga 4 petang esok untuk menyerahkan surat akuan itu kepada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Kol (Bersara) Nazim Mohd Alim melalui faks, e-mel atau dalam bentuk PDF di WhatsApp.