PELETAKAN jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri bersama barisan kabinetnya seharusnya tidak merencatkan sistem penyampaian kerajaan terutama petugas barisan hadapan.
Dalam saat getir menghadapi pandemik Covid-19, segala usaha dan bantuan yang melibatkan peruntukan besar tidak boleh terjejas khususnya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Dengan ketiadaan jemaah menteri, urusan pentadbiran kini diterajui oleh ketua-ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan persekutuan, sementara pasukan keselamatan seperti polis dan tentera sentiasa siap siaga menjaga keamanan.
Kita tidak meragui kecekapan 1.6 juta penjawat awam, apatah lagi ini kali ketiga kerajaan persekutuan bertukar tangan dalam tempoh tiga tahun.
Pertukaran kerajaan yang mengejutkan penjawat awam bermula dengan kekalahan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum 2018, diikuti peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Februari 2020 dan disusuli Muhyiddin, Isnin lalu.
Sememangnya rakyat bimbang kemelut politik akan menjejaskan usaha kerajaan melawan Covid-19.
Bagaimanapun, seramai 516,940 orang disuntik vaksin pada hari peletakan jawatan kabinet Muhyiddin. Setakat Selasa, lebih 27 juta dos vaksin sudah diberikan.
Program vaksinasi tidak tergugat kerana bukan menteri-menteri yang turun padang untuk suntik vaksin tetapi petugas barisan hadapan.
Banyak kerajaan di seluruh dunia bertukar tangan dalam tempoh pandemik ini.
Namun, ramai yang berpendapat usaha pentadbiran Amerika Syarikat membendung Covid-19 menjadi lebih baik setelah Presiden Joe Biden menggantikan Donald Trump pada Januari 2021.
Yoshihide Suga menggantikan Shinzo Abe sebagai Perdana Menteri pada September 2020 tidak mengganggu usaha kerajaan Jepun melawan Covid-19, malah Negara Matahari Terbit itu berjaya menganjurkan Olimpik Tokyo baru-baru ini.
Sistem pentadbiran kerajaan pada dasarnya adalah terasing daripada sistem politik kepartian. Ia mestilah bersikap berkecuali dan mendokong government of the day.
Kita tidak tahu bilakah kerajaan baharu akan terbentuk. Sepanjang tempoh itu, harapan tentulah terletak di bahu kakitangan awam.
Walaupun kerajaan datang dan pergi bersilih ganti, perkhidmatan awam mesti kekal setia dalam neutraliti.