KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menangguhkan sementara program pemain naturalisasi, dilihat sebagai tindakan tepat dalam usaha merancang satu mekanisme terbaik bagi memilih pemain naturalisasi yang benar-benar berkualiti.
Menurut Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan, penangguhan berkenaan akan membolehkan FAM merancang satu mekanisme selain mengenal pasti kriteria-kriteria yang diperlukan bagi memilih pemain-pemain naturalisasi mewakili negara.
Malah katanya, pemilihan pemain-pemain naturalisasi ini juga perlu dilakukan oleh pihak yang pakar termasuk jurulatih bagi memastikan pemain yang dipilih tepat.
"Secara keseluruhannya, saya lihat penangguhan ini satu tindakan yang baik daripada FAM kerana kita kita perlu berbincang apakah kriteria yang diperlukan bagi seseorang pemain naturalisasi dipilih. Jangan tergopoh-gapah.
"Kalau boleh, dapatkan satu kriteria bagi seseorang pemain itu sebelum dipilih sebagai pemain naturalisasi dan kena bagi masa kepada FAM untuk kenal pasti kriteria ini untuk pastikan kita buat keputusan yang tepat, terutamanya dari aspek teknikal.
"Selain itu, seseorang pemain naturalisasi itu juga perlu menepati kriteria yang diperlukan.
"Sebagai contoh, kalau kita dah ada ramai pemain penyerang, nak buat apa pemain naturalisasi sebagai penyerang? Kita kuatkan bahagian yang benar-benar perlu diperkuatkan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
FAM sebelum itu membuat keputusan untuk menangguhkan sementara program naturalisasi pemain baharu bagi pasukan kebangsaan, sebelum meneliti keperluan menyerapkan pemain asing dalam skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.
Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, skuad Harimau Malaya akan kekal menggunakan khidmat pemain naturalisasi sedia ada untuk pusingan ketiga kempen kelayakan Piala Asia 2023 bermula Februari tahun depan.
Sementara itu, mengulas pengumuman FAM untuk meneruskan program pemain warisan, Sathia berkata, ia juga satu keputusan yang baik namun berharap agar pemain warisan yang dipilih kelak juga menepati kriteria-kriteria yang diperlukan skuad Harimau Malaya.
"Bagus untuk pasukan kebangsaan, jika program pemain warisan ini diteruskan, tetapi macam saya kata perlu pastikan pemain warisan ini juga menepati kriteria yang diperlukan; sebagai contoh pemain macam Dion Cools, Brendan Gan yang memberikan impak kepada pasukan,” katanya.