Perhilitan Kelantan pindah 12 gajah liar

Iklan
Perhilitan Kelantan berjaya menangkap seekor gajah liar betina dianggarkan berusia dalam lingkungan 15 hingga 20 tahun di Kampung Bukit Ipoh, Jeli pada Isnin.

JELI - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan telah memindahkan 12 ekor gajah liar yang ditangkap ke habitat lebih selamat sejak Januari hingga Julai lalu selepas mengancam keselamatan penduduk di negeri ini.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, gajah-gajah yang ditangkap itu telah dilepaskan semula ke habitat yang lebih sesuai iaitu di Taman Negara Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Hutan Simpan Royal Belum dengan kerjasama Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang.

Iklan
Iklan

"Jumlah (pemindahan) itu melibatkan tangkapan di jajahan Tanah Merah (lapan ekor), Kuala Krai (dua ekor) dan Gua Musang (dua ekor)," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, terbaharu pada Isnin lalu sekitar jam 5 petang, Perhilitan Kelantan telah berjaya menangkap seekor gajah liar betina di Kampung Bukit Ipoh, Jeli.

Iklan

Beliau berkata, gajah liar yang ditangkap itu dianggarkan berusia dalam lingkungan 15 hingga 20 tahun.

Ady Ermanty Haniff berkata, operasi menangkap haiwan itu dilakukan pihaknya selepas menerima aduan daripada penduduk yang memberitahu sekumpulan lapan ekor gajah liar merosakkan tanaman mereka.

Iklan

"Mengikut maklumat penduduk, gajah-gajah ini telah berkeliaran ke Kampung Belimbing, Dendong dan Air Berching sejak 17 Julai lalu.

"Kejayaan ini sedikit sebanyak memberi kelegaan dan rasa selamat kepada penduduk kampung untuk kembali ke kebun masing-masing," katanya.

Menurutnya, kumpulan gajah liar itu dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Basor untuk mencari sumber makanan.

Beliau berkata, populasi gajah-gajah liar yang mendiami kawasan hutan simpan berkenaan dianggarkan lebih daripada 30 ekor.

Katanya, musim buah di kawasan berhampiran hutan simpan pada ketika ini menjadi tarikan kepada haiwan-haiwan itu memasuki kawasan kampung berhampiran

Penduduk disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.