Melaka catat 48 kes tipu kerja e-dagang, kerugian hampir RM700,000

Iklan
E Sundra

MELAKA - Polis Melaka menerima 48 laporan berhubung penipuan tawaran kerja tidak wujud membabitkan kerugian hampir RM700,000 bermula awal tahun ini hingga 15 Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra berkata, kesemua laporan polis yang diterima melibatkan tawaran kerja dari syarikat jualan dalam talian yang diiklankan menerusi laman Facebook, Instagram, telegram dan aplikasi WhatsApp.

Iklan
Iklan

Menurutnya, modus operandi mereka dengan memberikan tawaran kepada mangsa untuk menjadi ejen jualan dan dijanjikan dengan komisen lumayan sebanyak lima hingga lapan peratus bagi setiap tugasan yang dilaksanakan.

Malah katanya, terdapat juga sindiket yang menawarkan kerja kepada mangsa sebagai ejen pembelian dan mangsa perlu membuat pembelian barangan yang mana setiap pembelian itu akan diberikan komisen lapan peratus daripada harga barang yang dibayar.

Iklan

"Suspek akan menggunakan nama-nama syarikat e-dagang terkenal seperti Lazada dan Shoppe untuk mengaburi kegiatan penipuan mereka.

"Kebanyakan mangsa mula sedar diri mereka ditipu apabila wang modal serta komisen yang dijanjikan tidak diterima," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Iklan

Sementara itu, Sundra berkata, pada Jumaat lalu seorang eksekutif perniagaan wanita berusia 23 tahun terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM8,000 selepas terpedaya dengan tawaran kerja tidak wujud.

Menurutnya, mangsa yang tertarik dengan jawatan sebagai ejen pembelian diminta membuat bayaran berjumlah itu dan ditawarkan dengan komisen sebanyak lapan peratus.

"Menyedari wang yang diberikan serta komisen yang dijanjikan tidak diperolehi, mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan tawaran kerja yang diiklankan di media sosial selain membuat semakan nombor telefon atau nombor akaun meragukan di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.