BINTANG Portugal, Cristiano Ronaldo menafikan berita yang mengatakan dia bakal kembali beraksi dalam saingan La Liga dengan menyarung kembali jersi Real Madrid, musim panas ini.
Malah pemain berusia 36 tahun itu turut menyelar pihak media berhubung laporan berita berkenaan yang didakwanya tidak berasas.
"Saya menyifatkan laporan berita seperti ini sebagai tidak menghormati hak saya sebagai seorang pemain bola sepak dan seorang manusia.
"Selain itu, laporan berita seperti ini juga turut tidak menghormati kelab yang saya wakili, Juventus dan juga Real Madrid termasuk semua pemain dan kakitangan mereka.
"Sejarah saya bersama Real Madrid sudah pun tertulis. Telah dirakamkan. Dalam perkataan, nombor, trofi, gelaran, rekod dan juga tajuk berita. Semuanya ada di Stadium Bernabeu selain terpahat di minda setiap penyokong,” katanya.
Untuk rekod, kontrak Ronaldo bersama Juventus telah pun memasuki tahun terakhir dan pemain itu mula dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa pasukan seperti, Real Madrid dan juga Manchester City.
Selama beraksi dengan Juventus sejak 2018, Ronaldo telah menjaringkan 101 gol daripada 133 penampilan selain membantu skuad The Old Lady itu muncul juara Serie A sebanyak dua kali selain muncul juara Coppa Italia, musim lalu.
Dalam masa sama, pengendali baharu Real Madrid, Carlo Ancelotti turut menafikan Ronaldo bakal kembali beraksi di Santiago Bernabeu.
Sementara itu Ronaldo berkata, sebenarnya tidak ada pun pihak yang mahu melaporkan berita sebenar melainkan berita-berita sensasi mengenai dirinya.
Katanya, perkara itu boleh dilihat apabila pihak media berlumba-lumba menyiarkan berita yang mengaitkan perpindahannya ke beberapa kelab dan tidak ada pihak yang cuba mendapatkan berita yang sebenar.
"Sebelum ini saya hanya berdiam diri, tetapi kali ini saya mahu bersuara dan sekali gus tidak membenarkan orang lain mempermain-mainkan nama saya lagi.
"Orang yang mengenali saya akan tahu saya begitu fokus dengan kerja saya selain sentiasa bersedia untuk berdepan dengan cabaran,” katanya.