ALOR SETAR - Pakatan Harapan (PH) Kedah melahirkan rasa kecewa kerana Kedah masih menduduki kelompok terbawah dalam program pemberian vaksinasi.
Sehingga 16 Ogos, hanya 55 peratus atau purata 73.7 peratus penduduk dewasa telah menerima dos pertama, manakala 31.8 peratus (purata 47.2 peratus) menerima suntikan dos kedua.
Sehubungan itu, kerajaan negeri disaran mempertingkatkan usaha merangkumi enam aspek pada kadar segera.
Menurut kenyataan bersama Majlis Pengerusi PH Kedah itu, ia jauh ketinggalan berbanding purata negara.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi PH Kedah yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Datuk Johari Abdul; Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi serta Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew pada Rabu.
"Kami mencadangkan agar kerajaan negeri menambah kapasiti vaksinasi di semua tempat iaitu di klinik kesihatan, hospital kerajaan, hospital dan klinik swasta serta di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Kerajaan negeri perlu pastikan bekalan vaksin untuk negeri ini sentiasa mencukupi," kata kenyataan itu.
Menurutnya, Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) perlu diperkasakan untuk memastikan semua pekerja kilang di vaksinasi segera.
"Perluaskan lagi vaksinasi secara walk in dan giatkan pasukan vaksinasi bergerak untuk menyantuni warga emas dan golongan kelainan upaya (OKU).
"Saringan terutamanya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ditingkatkan selain memastikan vaksinasi mencapai imuniti kelompok di semua kawasan PKPD," katanya.
Menurut kenyataan itu, kempen vaksinasi juga perlu digiatkan lagi terutamanya dalam menangani golongan antivaksin.
"Kes jangkitan Covid-19 di Kedah pada Selasa adalah 1,863, berada di tempat ketiga tertinggi dalam negara.
"Selama beberapa minggu Kedah menduduki tempat ketiga dan kes kematian akibat jangkitan Covid -19 juga tinggi," katanya.
Ini menunjukkan kadar purata kes tujuh hari bagi setiap 100,000 penduduk adalah 75.27 jauh melebihi purata, berada di posisi ketiga selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor.
"Hanya di daerah Padang Terap dan Pokok Sena menunjukkan statistik kes menurun, daerah lain semuanya masih dikategorikan zon merah," kata kenyataan itu.
Pada Selasa, Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan dukacita dengan kadar jangkitan Covid-19 baharu yang dilaporkan setiap hari di negeri ini yang kekal menunjukkan jumlah empat angka sejak hampir sebulan lalu.
Baginda bertitah supaya program vaksinasi di Kedah diperluaskan lagi agar segera mencapai imuniti kelompok.