KUALA LUMPUR - Sambutan Hari Kebangsaan 2021 dijadual berlangsung pada 31 Ogos ini di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, akan diteruskan seperti yang dirancang oleh Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2021.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, biarpun berdepan cabaran pandemik Covid-19 serta isu politik kerajaan ketika ini, perkhidmatan awam tetap meneruskan tugas seperti biasa.
"Persediaan Sambutan Hari Kebangsaan yang hampir 80 peratus siap tidak akan terjejas, kami tetap akan pantau perkembangan kes Covid-19 ini dari semasa ke semasa,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan Program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di Berita RTM pada Rabu.
Mohammad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan HKHM 2021 mengakui, dalam situasi pandemik ini, terdapat negara lain yang menangguhkan sambutan melibatkan orang ramai.
Beliau berkata, Malaysia tidak pernah menangguhkan atau membatalkan sambutan hari kebangsaan sejak negara ini merdeka pada 1957.
"Jadi, kami cuba imbangkan (sambutan dan penjarakan fizikal) dalam keadaan sekarang, kalau kita lihat sasaran imuniti kelompok menjelang 31 Ogos akan capai 50 peratus, sebab itu kami yakin boleh anjurkan sambutan dalam skala kecil dengan pematuhan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat,” katanya.
Mohammad berkata, semua peserta yang terlibat secara fizikal pada sambutan itu perlu lengkap dua dos vaksin selain menjalani saringan calitan Covid-19 tiga hari sebelum raptai sambutan diadakan.
Katanya, selain tidak melibatkan penonton awam, penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka serta sanitasi yang konsisten akan terus dipantau bagi mengelakkan kewujudan kluster sambutan itu.
Mohammad berharap orang ramai akan menyaksikan siaran sambutan berkenaan secara langsung bermula jam 7.30 pagi di hadapan kaca televisyen masing-masing. - Bernama