Penyu pertama mendarat selepas 30 tahun

Iklan
Seekor penyu agar berusia 15 hingga 18 tahun mencipta rekod baharu apabila muncul untuk bertelur berhampiran Hotel Primula, di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Kemunculan penyu daripada spesies agar yang mendarat untuk bertelur di Pantai Batu Buruk pada Isnin lalu adalah yang pertama direkodkan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu sejak 30 tahun lalu.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, sebelum ini belum ada lagi penyu direkodkan muncul di pantai berkenaan dan dipercayai lokasi itu menjadi lokasi pertama pendaratan reptilia laut terbabit.

Iklan
Iklan

"Hasil pemeriksaan pada badan penyu berkenaan tiada sebarang nombor tag yang biasanya dipasang untuk pengenalan diri setiap penyu.

"Jika penyu ini memiliki nombor tag kita boleh kesan lokasi ia pernah mendarat sebelum ini.

Iklan

"Jadi kita percaya penyu ini mungkin tidak pernah lagi mendarat di mana-mana pantai di Terengganu sebelum ini dan Pantai Batu Buruk adalah lokasi pertama penyu berkenaan singgah untuk bertelur," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Menurut Ruzaidi, terdapat empat spesies penyu yang pernah muncul di kawasan pantai di Terengganu iaitu penyu karah, penyu agar, penyu belimbing dan penyu lipas.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini hanya penyu daripada spesies karah dan agar dilihat masih muncul dan mendarat untuk bertelur di pesisir pantai di negeri ini."Penyu karah biasanya akan mendarat di kawasan pulau setiap tahun untuk bertelur namun spesies penyu lipas dan belimbing sudah lama tidak muncul.

Sebanyak 49 biji telur penyu dibawa ke Pusat Konservasi Dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang, Dungun untuk proses pengeraman.

Kali terakhir penyu lipas mendarat di Terengganu ialah pada 2004 iaitu di Kemasik, Kemaman dengan menghasilkan 330 biji telur daripada tiga sarang.

"Penyu belimbing pula kali terakhir mendarat di Terengganu pada 2017 di Pantai Rantau Abang dengan menghasilkan 124 biji telur daripada dua sarang," katanya.

Sehubungan itu, Ruzaidi menyeru orang ramai supaya bersama-sama menjaga hidupan berkenaan bagi memastikan ia terus terpelihara untuk tatapan generasi akan datang.

Katanya, sebarang maklumat berkaitan penemuan penyu perlu disalurkan kepada Jabatan Perikanan Negeri.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan supaya haiwan yang mempunyai jangka hayat 100 tahun itu tidak diganggu sama ada semasa sedang naik ke darat, ketika berada di darat atau dalam perjalanan turun semula ke laut.

"Tindakan mengganggu penyu berisiko menyebabkan haiwan itu tidak kembali lagi ke kawasan pantai berkenaan untuk bertelur.

"Perbuatan mengganggu penyu juga boleh disabitkan kesalahan dibawah Seksyen 12B Enakmen Penyu 1951 (pindaan 1987) dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua- duanya jika sabit kesalahan," katanya.

Isnin lalu, seekor penyu agar berusia lingkungan antara 15 hingga 18 tahun dikesan mendarat berhampiran hotel di Pantai Batu Buruk, di sini antara jam 7 petang hingga 8.50 malam.

Sebanyak 49 biji telur penyu berkenaan dibawa ke Pusat Konservasi Dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang, Dungun untuk proses pengeraman.