TUMPAT - Hampir dua tahun terumbang-ambing kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 60 peniaga Pasar Malam Geting masih berharap kerajaan dapat membenarkan mereka membuka perniagaan di tapak itu.
Pengerusi Pasar Malam Geting Tumpat, Mazlan Ibrahim berkata, ada sebahagian mereka sudah menukar kepada pekerjaan lain bagi menampung kehidupan, namun selebihnya tetap lagi menanti keputusan yang baik buat mereka.
Menurutnya, dua tahun adalah tempoh yang sangat mencabar untuk diharungi peniaga dan simpanan mereka mula kehabisan.
"Misalnya, saya sendiri berniaga pakaian terpakai dan terpaksa beralih tumpuan menjual kelapa.
"Bagi peniaga yang buntu untuk mencari pekerjaan lain pula sangat berharap pasar malam dapat dibuka semula,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Kemahkotaan @ Pata Ndo, Bandar Tumpat di sini pada Rabu.
Beliau sebelum itu hadir pada program agihan 100 bakul makanan daripada Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC) yang disampaikan oleh Pengerusi MCC, Nik Faiz Nik Amin.
Hadir sama, Presiden Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK), Pui Tiong Lam.
Mazlan berkata, pihaknya bersedia untuk mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat sekiranya dibenarkan berniaga di pasar malam.
"Kalau boleh arahan antara pusat dan negeri berkait SOP ini juga diselaraskan untuk memudahkan kami faham serta mematuhinya,” katanya.
Seorang peniaga pakaian pasar malam, Robaun Adawiyah Mat Yudi, 31, berkata, dia kini mengambil upah menyiang ikan bilis dengan upah RM10 bagi setiap 10 kilogram, manakala suami bekerja pembantu kedai pakaian dengan upah RM25 sehari.
"Sebelum ini, saya berniaga baju di Pasar Malam Geting dengan membawa barangan perniagaan menggunakan motosikal roda tiga.
"Semasa PKP, pendapatan kami terjejas dan saya pula tidak boleh kerja berat kerana mengandung,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Zuraini Mat Shood, 37, mengakui hasil jualan ayam goreng yang diusahakan merosot sehingga 90 peratus.
"Dulu niaga pasar malam boleh jual sehingga 10 ekor ayam, tapi bila berniaga depan rumah hanya seekor ayam dapat dijual.
"Memang sukar dan harap pasar malam dibuka semula agar kami dapat terus mencari pendapatan,” katanya.
Sementara itu, Zuraidah Awang, 36, pula berkata, terpaksa melakukan perniagaan aiskrim secara tunai bayar waktu terima (COD) kerana patuh arahan PKP.
"Bimbang juga dijangkiti Covid-19, namun duit perlu dicari kerana ada anak-anak dan kehidupan yang perlu ditanggung.
"Kalau boleh perniagaan pasar malam dibuka semula walaupun hanya satu tempat bagi memulihkan pendapatan kami,” katanya.