SHAH ALAM - Kerjasama dua hala antara Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei (UNISSA) berperanan penting dalam usaha meningkatkan pertumbuhan kewangan Islam di peringkat global.
Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusof berkata, hasrat itu dapat dicapai melalui Memorandum Perjanjian bersama UNISSA yang menawarkan program persijilan IBFIM iaitu Kelayakan Bersekutu dalam Kewangan Islam (AQIF) kepada pelajar-pelajar dan tenaga pengajar UNISSA.
"IBFIM dan UNISSA berkongsi aspirasi yang sama untuk melahirkan graduan yang terlatih dan mencapai tahap kebolehpasaran dalam kewangan Islam bukan sahaja di Brunei malah di peringkat antarabangsa.
"Melalui jalinan strategik ini, bukan sahaja program sedia ada dapat ditawarkan, tetapi akan memberi peluang untuk program-program baharu dibangunkan secara bersama khususnya dalam bidang-bidang seperti kelestarian, teknologi dan kewangan sosial.
"Kami berharap usaha ini juga akan mengeratkan lagi kerjasama di antara Malaysia dan Brunei Darussalam,” katanya pada majlis menandatangani memorandum perjanjian IBFIM dan UNISSA melalui aplikasi zoom pada Rabu.
Mengulas lanjut, Yusry berkata, Memorandum Perjanjian itu adalah susulan Memorandum Persefahaman yang ditandatangani pada tahun 2017, di mana setakat ini telah menghasilkan sejumlah 19 orang graduan dan tiga orang pensyarah UNISSA dengan pensijilan AQIF.
"Kerjasama ini diharap dapat memacu perkembangan industri kewangan Islam di Brunei sebagai negara yang berada di kedudukan ke-15 teratas di antara institusi kewangan Islam dunia selaras dengan aspirasi negara Brunei untuk menjadi salah sebuah hab kewangan Islam antarabangsa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dekan Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam UNISSA, Dr Abdul Nasir Abdul Rani berkata, kolaborasi antara UNISSA dan IBFIM merupakan satu langkah penting dalam membangunkan kapasiti sumber tenaga manusia yang kompeten dalam menghadapi cabaran perkembangan kewangan Islam pada masa kini.
"Perjanjian ini akan mula berkuasa pada hari ini dan akan berlangsung selama tiga tahun ke depan tertakluk kepada penamatan atau pelanjutan seperti yang diperuntukkan di dalam perjanjian.
"Adapun tujuan teras tandatangan memorandum ini dibuat untuk mempromosi dan mengeratkan hubungan persahabatan antara kedua-dua pihak iaitu UNISSA dan IBFIM dan meningkatkan prestasi pelajar dalam bidang pendidikan kewangan Islam UNISSA,” jelasnya.
Majlis yang berlangsung secara maya itu turut di saksikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah; Rektor UNISSA, Dr Norarfan Zainal dan Ahli Lembaga Pengarah IBFIM, Muhammad Fikri Mohamad Rawi.