KOTA KINABALU - [DIKEMASKINI] Dua ahli Parlimen daripada DAP Sabah sudah menghantar surat akuan masing-masing ke Istana Negara kira-kira jam 1 petang Rabu.
Seperti yang dilaporkan pada Selasa, kesemua ahli Parlimen diarahkan supaya menghantar surat akuan secara bertulis kepada Istana Negara dan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke-9 selewat-lewatnya jam 4 petang ini.
Menurut ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, dia bersama ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual telah melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka sebagai ahli Parlimen dalam memilih calon Perdana Menteri ke-9.
"Kami telah menghantar surat akuan kepada Istana Negara kira-kira jam 1 tadi."Sistem demokrasi berparlimen amat mementingkan rule of law. Orang politik perlu bertindak atas landasan Perlembagaan dan undang-undang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau turut berkata, Perdana Menteri yang hilang majoriti, perlu berundur diri secara terhormat.
"Yang di-Pertuan Agong memainkan peranan Perlembagaan (constitutional role) untuk menentukan sesiapa dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang mendapat majoriti Dewan Rakyat.
"Semoga segala urusan dapat dipermudahkan," katanya. Sementara itu, ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli dari Parti Warisan Sabah (Warisan) memaklumkan akan menghantar surat akuannya sebentar lagi."Sekejap lagi (akan hantar surat akaun)," katanya.
Ditanya sama ada surat itu dihantar secara individu atau melalui wakil Warisan, beliau memaklumkan Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah mengumumkan ia dihantar secara individu.
"Keputusan bersama, hantar sendiri-sendiri (secara individu). Sebab hantar guna e-mel dan WhatsApp," katanya.
Tempoh untuk semua anggota Dewan Rakyat menghantar surat akuan masing-masing berbaki kurang satu jam, namun usaha Sinar Harian mendapatkan maklum balas beberapa ahli Parlimen daripada beberapa parti di Sabah belum membuahkan hasil setakat ini.