PUTRAJAYA - Empat wakil rakyat akan mengetahui pada 30 September ini sama ada mereka boleh memulakan semakan kehakiman untuk mencabar tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menangguhkan sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri semasa darurat.
Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menangguhkan keputusan mereka ke 30 September dalam rayuan yang dikemukakan oleh wakil rakyat itu kerana mereka memerlukan masa untuk mempertimbangkan isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tersebut.
Terdahulu panel itu mendengar rayuan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram dan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub, ADUN Gurun dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan ADUN Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Mereka merayu terhadap keputusan dua Mahkamah Tinggi berasingan yang menolak permohonan mereka untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman.
Pada prosiding pada Rabu yang dijalankan secara maya, peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili kesemua wakil rakyat itu berhujah Parlimen dan DUN tidak pernah digantung semasa darurat dalam sejarah Malaysia.
Dr Gurdial Singh berkata, isu yang dibangkitkan dalam semakan kehakiman, antara lain, sama ada peruntukan dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung sidang Parlimen dan DUN adalah sah dan boleh dipertikaikan.
"Isu-isu ini perlu diselesaikan oleh mahkamah kita. Atas sebab itu, kebenaran perlu diberikan untuk isu-isu ini diputuskan oleh mahkamah,” katanya.
Beliau berkata, Mahkamah Persekutuan telah menjelaskan sebarang tindakan eksekutif boleh dicabar atas dasar ia bercanggah dengan prinsip utama Perlembagaan Persekutuan.
Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan yang mewakili Muhyiddin dan kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman itu, menegaskan mahkamah mesti mempunyai bidang kuasa untuk melayan permohonan semakan kehakiman.
Dalam memohon mahkamah untuk menolak rayuan itu, beliau berkata, Perkara 150 (8) (b) menyatakan bahawa tiada mahkamah yang mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau menentukan apa-apa permohonan, soalan atau prosiding, dalam apa jua bentuk, atas apa jua alasan, mengenai kesahan perisytiharan darurat itu.
Pada 11 Mac tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan untuk memulakan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh Salahuddin, Johari dan Abdul Aziz.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan bahawa proklamasi serta ordinan yang digubal di bawah undang-undang darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.
Bagi Hassan pula, permohonannya untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman ditolak Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 26 April tahun ini.
Pada 26 Januari lalu, Salahuddin, Johari dan Abdul Aziz selaku pemohon memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman berhubung perisytiharan darurat, sementara Hassan mengemukakan permohonan untuk memulakan semakan kehakiman pada 27 Januari tahun ini.
Pada 12 Januari tahun ini, Istana Negara dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.
Muhyiddin dalam perutusan khas sempena proklamasi darurat pada hari yang sama, menjelaskan Kabinet telah menasihatkan Seri Paduka Baginda untuk mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara selaras dengan Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa dari 11 Jan hingga 1 Ogos 2021. - Bernama