Perbicaraan kes rogol ADUN Tronoh ditangguh 27 September

Iklan
Paul Yong

IPOH - Perbicaraan kes rogol pembantu rumah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan sehingga 27 September depan.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan dua saksi pendakwaan pada prosiding pada Rabu.

Iklan
Iklan

Mereka ialah Penyelia Pengurusan Hartanah Meru Desa Park, A Murugiah, yang bertanggungjawab menjaga keselamatan di kawasan kediaman ADUN itu, dan Lee Yeong Wai, 39, rakan tertuduh yang pulang dari Kuala Lumpur bersama Paul serta isterinya pada malam kejadian.

Murugiah memberitahu mahkamah bahawa pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup bersama Ketua Polis Jelapang Inspektor Rashidi Othman mendapati, seorang wanita telah keluar dari Meru Desa Park menuju ke arah jalan utama pada 1.23 tengah hari 8 Julai 2019 iaitu sehari selepas kejadian, selepas berbual dengan pengawal keselamatan yang bertugas.

Iklan

Yeong Wai pula berkata, mereka tiba di rumah Paul pada kira-kira 8.30 malam dan berbual sebentar sebelum saksi itu pulang ke rumahnya.

"Sepanjang berada di anjung luar, saya tidak pernah jumpa pembantu rumah,” katanya sambil menambah ketika itu, Paul masih mengenakan pakaian sama iaitu kemeja T hitam berkolar dan seluar panjang warna sama.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasdi dengan dibantu oleh Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin manakala pembelaan diketuai Datuk Rajpal Singh.

Mahkamah telah mendengar keterangan 22 saksi sepanjang perbicaraan kes itu yang bermula pada 5 April lepas.

Paul, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia, di kediamannya di Meru Desa Park di sini antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen, namun pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Paul didakwa atas pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen di sini pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak. - Bernama