KUALA LUMPUR - Malaysia masih berpeluang menyertai aktiviti ekonomi dan perdagangan serta menerima manfaat daripada projek kabel bawah laut yang diumumkan baru-baru ini walaupun kehilangan peluang untuk disenaraikan dalam infrastrukturnya, menurut penganalisis.
Penganalisis teknologi, Bobby Varanasi berkata, Malaysia tidak terlepas sesuatu yang signifikan dari segi tidak mempunyai pendaratan kabel bawah laut memandangkan ia masih boleh memanfaatkan peluang-peluang lain.
"Saya berpandangan apa yang Malaysia boleh lakukan adalah menerima manfaat daripada peluang perniagaan yang lebih luas, terutamanya pertumbuhan keluaran dalam negara kasar di seluruh rantau ini yang akan turut memberi kebaikan kepada Malaysia,” katanya dalam pogram Mid-day Update yang disiarkan di Bernama TV pada Rabu.
Menurut laporan media pada Selasa, Facebook dan Google mengumumkan akan turut serta dalam projek sistem kabel bawah laut Apricot di seluruh Asia Pasifik bersama-sama rakan serantau dan global.
Kabel sepanjang 12,000 kilometer itu akan menghubungkan Guam, Indonesia, Jepun, Filipina, Singapura dan Taiwan, tidak termasuk Malaysia.
Varanasi berkata, projek kabel bawah laut itu bukan sahaja akan melengkapi negara yang terlibat, malah membolehkan perdagangan rentas sempadan dengan kaedah lebih lancar dan produktif.
"Malaysia telah berada dalam konteks mempunyai perjanjian bilateral dan multilateral dengan semua negara yang terlibat dalam projek itu, khususnya ASEAN dan ini membuka lebih banyak peluang perdagangan.
"Projek kabel ini seharusnya akan mempamerkan teknologi moden dari segi penghantaran data yang kita tidak pernah ada sebelum ini,” katanya. -Bernama