KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyeru Taliban dan semua pihak di Afghanistan memastikan kepentingan rakyat terus dipelihara di samping melindungi nyawa, menghindari keganasan dan mewujudkan keamanan yang berkekalan.
Dalam satu kenyataan kepada Bernama, Sekretariat Umum OIC mengulangi komitmen untuk menyokong proses damai yang diterajui Afghanistan dan sentiasa menyokong negara itu dalam situasi sukar ini.
OIC juga menegaskan pihaknya mengikuti perkembangan di Afghanistan dan mahu mengembalikan keamanan dan keselamatan di sana secepat mungkin, menurut kenyataan itu.
Taliban menawan Kabul pada Ahad sekali gus menguasai Afghanistan untuk pertama kalinya dalam hampir 20 tahun.
Susulan itu, Presiden Mohammad Ashraf Ghani terpaksa meninggalkan negara berkenaan.
Tumpuan kini beralih kepada keselamatan orang awam dan pelarian Afghanistan serta masa depan negara itu di bawah Taliban.
Menurut laporan media, banyak negara telah memutuskan untuk membawa pulang diplomat dan warganegara mereka dari Afghanistan dan menutup kedutaan.
Afghanistan menganggotai OIC sejak 1969. - Bernama