Yan dilanda banjir terburuk

Iklan
Jambatan gantung Titi Hayun Yan dekat kaki Gunung Jerai yang roboh dibawa 'kepala air' dalam kejadian petang Rabu. Gambar kecil: Saadan

YAN - Hujan lebih lima jam pada Rabu menyebabkan kawasan Gunung Jerai di sini dilanda banjir terburuk dalam sejarah.

Seorang penduduk, Jamilah Saad, 47, dari Kampung Mat Acheh berkata, hujan sejak pagi, namun keadaan menjadi teruk kira-kira jam 5 petang.

Iklan
Iklan

"Hujan sejak pagi tadi tapi dalam keadaan biasa, tiba-tiba jam 4 petang jadi lebat.

"Air mula melimpah laju sehingga masuk dalam rumah pada jam 5 petang dan ini adalah kejadian terburuk yang pernah kami alami," katanya.

Iklan

Seorang lagi penduduk, Saadan Ghazali, 36, berkata, dia yang tinggal di Taman Guru mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah bapanya selepas paras air makin meningkat.

"Saya sekeluarga berpindah ke rumah bapa di Taman Setia Jaya kerana kawasan itu tidak dinaiki air.

Iklan

"Saya tinggal di sini sejak empat tahun lalu dan ini kejadian yang paling teruk," katanya.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati penduduk tidak dibenarkan melalui jalan yang dinaiki air demi keselamatan.

Anggota keselamatan yang bertugas juga mengarahkan penduduk supaya berpatah balik.

Dalam pada itu, beberapa orang waris juga kelihatan menanti untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan ahli keluarga mereka yang dipercayai hanyut dibawa arus.