SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sekali lagi menggesa semua pihak berhenti daripada melakukan provokasi melampau yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, kestabilan dan keharmonian beragama yang dicapai pada hari ini amat mudah untuk diruntuhkan, tetapi bakal mengambil masa yang lama untuk dibina semula.
Justeru menurutnya, ABIM ingin mengingatkan kebebasan bersuara tidak terpakai dalam konteks penghinaan agama dan kaum di Malaysia.
"Walaupun kes penghinaan Nabi ini telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa dan sedang didakwa di mahkamah, ABIM berpendapat isu penghinaan kaum atau agama seharusnya tidak berlaku lagi.
"Hal ini demikian kerana, pada tahun 2010 contohnya, telah berlaku kes penghinaan di laman sosial Facebook dan ABIM telah mengingatkan kes-kes seperti ini boleh merobek keharmonian hubungan di antara kaum dan perselisihan faham yang merugikan kestabilan masyarakat majmuk,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Perkara tersebut merujuk kepada kes terbaru penghinaan Nabi Muhammad SAW yang dilakukan oleh pemegang akaun Facebook Foo Sing Wai dan Sally Yen seperti yang dilaporkan.
Dalam pada itu, ABIM juga katanya, menyarankan seluruh umat Islam di negara ini agar berhenti menyebarkan atau membuat perkongsian karikatur (penghinaan ke atas Nabi) tersebut di media sosial kerana ia tidak membantu meredakan keresahan di kalangan masyarakat.
"Sebaliknya, yang lebih baik adalah seluruh umat Islam di Malaysia menunjukkan keperibadian yang lebih baik sesuai dengan tuntutan Sunnah Nabi Muhammad SAW tanpa menghina dan mencaci pihak terbabit.
"Antara tindakan lain yang boleh dilakukan seperti membuat sesi pendengaran awam berkenaan akhlak Rasulullah SAW atau menulis di akhbar dan media sosial tentang sifat-sifat mulia Baginda SAW.
"Selain itu, membuat video pendek yang menunjukkan secara praktikal akhlaq dan peribadi Rasulullah adalah dipercayai lebih mudah difahami oleh orang ramai,” katanya.
Selain itu katanya, ABIM turut mengucapkan tahniah atas kecekapan pihak berkuasa melakukan siasatan dan tindakan terhadap pihak-pihak yang terbabit dalam kes-kes seperti itu.