SHAH ALAM - Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menggesa tanah rizab Melayu dan tanah wakaf diurus dan dibangunkan dengan produktif selain memastikan pemilikannya kekal kepada orang Melayu sahaja.
Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, isu tanah rizab Melayu yang tidak diurus dengan kemas dan telus sudah lama berlaku sehingga mencetuskan kebimbangan orang Melayu akan kehilangan aset yang paling penting itu.
"Pembangunan tanah rizab Melayu dan berpindah kepada bukan Melayu tetapi tidak dikeluarkan dari warta tanah rizab Melayu menyebabkan ia tidak diganti seperti yang peruntukkan dalam Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan. Bermakna pada realitinya TRM sudah berpindah tangan tetapi dalam rekod TRM masih wujud.
"Lantaran itu kami berpendapat urus tadbir dan rekod TRM perlu dikemaskini serta sebarang salah urus diperbetulkan segera," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendedahkan pengambilan tanah rizab Melayu untuk pembangunan tidak diganti dengan keluasan atau nilai sama merupakan antara isu yang memberi kesan serius kepada kedudukan tanah rizab Melayu ketika ini.
Tambah memburukkan keadaan ialah apabila tanah yang dinamakan 'reserve' atau 'simpanan' untuk kesejahteraan orang Melayu sering kali ditadbir sebagai 'tanah terbiar' atau 'tanah kurang nilai' sehingga menjatuhkan nilai pasaran hartanah yang amat berharga itu.
Mohd Azmi ketika mengulas berhubung perkara tersebut berkata, Teras menggesa faktor penjualan tanah rizab Melayu oleh pemilik perlu diteliti dan tidak boleh terus terbiar tanpa menghasilkan sebarang pulangan.
Ujar beliau, jika modal menjadi isu maka pihak yang bertanggungjawab dan syarikat Melayu yang berkemampuan perlu bergabung dengan pemilik tanah untuk membangunkan tanah rizab tersebut.
"Kami mengusulkan sebuah skim khas pembangunan TRM dan tanah wakaf diwjudkan sesuai dengan syarat pembangunan yang ditetapkan. Aset tanah perlu diurus dan dibangunkan dengan bijak supaya ia boleh memberi manfaat maksima kepada orang Melayu," katanya.