TEMERLOH - Rasanya yang lemak manis, pahit dan kuning keemasan menyebabkan durian kampung Chok Villa habis ditempah para penggemarnya tanpa sempat dibawa keluar untuk jualan.
Menurut pengusahanya, Abd Manan Ishak, 63, dari Kampung Teluk Ira di sini setiap kali buah gugur, ia sudah ditempah oleh pelanggan dan dijual pada harga RM30 sekilogram.
"Jadi memang tak dapat nak bawa jual ke mana-mana semua sudah siap ditempah pelanggan.
"Pada musim kali ini, secara purata setiap pokok menghasilkan 70 biji walaupun saya sasarkan lebih banyak tapi keadaan cuaca tidak menentu yang menjejaskan hasil," jelasnya ketika ditemui Sinar Harian.
Durian Chok Villa dicirikan berbentuk bulat bujur, kulit berwarna hijau muda dengan purata berat setiap biji mencecah antara 2 hingga 3.5 kilogram (kg).
Abd Manan memberitahu, durian itu ditanam oleh arwah bapanya kira-kira 30 tahun lalu itu daripada bijinya.
"Saya ingat lagi bapa membawa balik durian ini yang diberikan orang asli di Kuala Krau dan menanam hampir kesemua bijinya tetapi hanya dua pokok yang menghasilkan buah seperti pokok induk.
"Durian ini semakin dikenali ramai sejak tahun lalu dan pernah meraih tempat kedua dalam pertandingan durian kampung premium peringkat negeri beberapa tahun lalu," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Bagi memenuhi permintaan, Abd Manan sedang berusaha menambahkan pokok durian memandangkan setakat ini hanya dua pokok yang terdapat di kebun terbabit.
"Ada lima pokok ke atas yang sudah berbuah dan saya pun sudah tanam lebih banyak cuma masih belum matang.
"Saya juga kini sedang berusaha menambahkan ilmu untuk menambahkan hasil pengeluaran buah ini setiap tahun seperti musang king kerana buat masa ini hanya berbuah setahun sekali pada musimnya," ujarnya durian itu masih belum dapat didaftarkan secara rasmi sebagai klon baharu.
Dia juga menghasilkan benih durian Chok Villa untuk dijual kepada orang ramai.
Mengulas mengenai nama Chok Villa, Abd. Manan menjelaskan, berdasarkan apa yang diketahuinya ia berasal daripada panggilan Jobilang yang bermaksud terbilang dalam masyarakat orang asli dan memilih untuk mengekalkan nama tersebut.