SELEPAS lebih dua minggu berlangsung, temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 secara rasmi melabuhkan tirainya pada Ahad, 8 Ogos lalu. Tahniah kepada Jepun kerana berjaya melangsungkan temasya Sukan Olimpik kali ini.
Genap setahun selepas ditangguhkan tahun lalu ekoran pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, penganjur akhirnya menarik nafas lega kerana masih mampu menganjurkan temasya sukan paling berprestij di dunia itu.
Di sebalik beberapa isu yang berlaku termasuk laporan kes Covid-19 membabitkan sebilangan kecil atlet pada awal temasya Olimpik 2020 berlangsung, pujian harus diberikan kepada tuan rumah kerana masih mengawal situasi dengan cukup baik.
Bagi kontinjen Malaysia yang disertai 30 atlet pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, sasaran tiga pingat termasuk satu kilauan emas gagal dicapai. Sebaliknya, satu perak dan satu gangsa berjaya dibawa pulang.
Jaguh lumba basikal trek, Datuk Azizulhasni Awang yang diletakkan sebagai prospek terbaik menjelmakan emas sulung Olimpik terpaksa menelan hakikat meraih perak, manakala gangsa disumbangkan beregu badminton lelaki, Aaron Chia-Soh Woi Yik.
Atas kertas, dua acara sukan – lumba basikal trek dan badminton sememangnya diletakkan sebagai sandaran untuk meraih pingat. Namun, agak mengecewakan apabila terjun gagal meraih sebarang pingat sebagaimana yang disandarkan.
Melihatkan pencapaian kontinjen Malaysia pada Olimpik kali ini, pemegang taruh terlibat khususnya Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) mahupun persatuan sukan kebangsaan harus segera membuat 'bedah siasat’.
Suka atau tidak, tanpa kilauan emas Olimpik Tokyo 2020 boleh dianggap sebagai satu kegagalan. Mana silapnya, hanya mereka yang terlibat secara langsung dalam persiapan kontinjen Malaysia ke Tokyo ada jawapannya.
Sekarang bukan masanya menuding jari cari salah siapa. Sekarang masanya bersiap siaga menjelang temasya Olimpik Paris 2024.
Bak kata seorang penganalisis sukan:"RM13 juta belum cukup bawa pulang emas tetapi kita kena berani 'melabur’ lebih kerana emas Sukan Olimpik tinggi nilainya.”