SELEPAS beberapa hari berteka-teki, akhirnya Barisan Nasional (BN) mengesahkan bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon tunggal Perdana Menteri.
Bagi Merak Jalanan, ia bukan satu berita yang mengejutkan. Biarpun beberapa nama dalam kalangan ahli Parlimen UMNO menjadi sebutan tetapi nama Ismail Sabri boleh dikatakan berada lebih ke depan.
Di satu pihak lagi – Pakatan Harapan (PH) tetap berdiri teguh di belakang Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hanya sosok bernama Anwar satu-satunya menjadi pilihan PH untuk menduduki kerusi Perdana Menteri.
Kalau ikut bahasa 'orang sukan’, baik Ismail Sabri mahupun Anwar, mereka kini sudah menjejakkan kaki ke pentas final. Hanya selangkah lagi buat Ismail Sabri atau Anwar untuk ditabalkan sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Jika ditanya siapa akan bergelar 'juara’, Merak Jalanan anggap peluang masih 50-50 walaupun ada penyokong mula bersorak selepas mencapai angka 111. Malah, ada yang optimis melepasi lebih daripada angka tersebut.
Apa yang pasti, esok atau lusa akan terlerai segala-galanya. Hanya satu nama pada hemat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat akan dipilih sebagai Perdana Menteri.
Merak Jalanan percaya rakyat akan terima siapa Perdana Menteri baharu nanti. Bagi mereka cukup-cukuplah 'peperangan politik’ ini. Paling penting bagi mereka, kebajikan mereka tidak diabaikan pihak kerajaan.
Sama seperti harapan jutaan rakyat Malaysia yang lain, Merak Jalanan juga harap krisis politik akan berakhir sedikit masa lagi. Kepada elit politik, ingat pesan keramat ini – yang menang tak semestinya menang semua, yang kalah tak semestinya kalah semua.