KUANTAN - Rebung madu menjadi 'talian hayat' kepada Kapten (B) Ahmad Azuan Osman untuk meraih pendapatan apabila syarikat pelancongan pengembaraan miliknya, Recreation Outdoor Hikers terpaksa menghentikan operasi buat sementara sejak tahun lepas ekoran pandemik Covid-19.
Jika sebelum ini, Ahmad Azuan, 42, mencari nafkah dengan menganjurkan pelbagai aktiviti lasak, rutin paginya kini dimulakan dengan mengasah sabit khas dan parang yang menjadi 'senjata' bagi menuai tanaman itu di kebun yang mempunyai kira-kira 200 rumpun buluh madu atau nama saintifiknya Gigantochloa Albociliata.
Membuka bicara, Ahmad Azuan berkata, beliau mula menyewa tanah seluas lebih satu hektar yang sudah ditanam rumpun buluh tersebut sekitar setahun lepas, selepas pemilik tanah yang juga rakannya tidak dapat mengusahakannya atas faktor kesihatan.
"Rakan memaklumkan ada membeli kebun buluh pada tahun 2019, namun tidak pernah mengusahakannya. Memandangkan wang simpanan semakin menyusut akibat Covid-19, saya meminta izin untuk melihat tanah itu jika ia boleh membantu saya terus menyara keluarga.
"Kali pertama datang ke kebun, ia hanya dipenuhi semak, namun saya percaya kebun buluh madu ini boleh mendatangkan hasil menyebabkan saya nekad membawa keluarga berpindah ke sini," katanya yang ditemui Bernama di kebunnya di Bukit Kuin di sini pada Rabu.
Bapa kepada tujuh anak berusia antara sebulan hingga 16 tahun itu menambah, tanpa ilmu pertanian yang lengkap, beliau mula memperbanyakkan pembacaan di Internet selain menonton video berkaitan pemprosesan rebung madu di YouTube yang disusuli dengan beberapa percubaan untuk mendapatkan hasil terbaik.
Lembu, babi hutan musuh utama
Ahmad Azuan yang bersara daripada angkatan tentera pada 2013 berkata, penjagaan buluh rebung madu itu tidak sukar namun lembu dan babi hutan menjadi musuh utama di kebunnya memandangkan kebun itu terletak bersebelahan hutan dan ladang kelapa sawit.
"Serumpun buluh madu yang dijaga dengan baik boleh menghasilkan empat kilogram rebung madu, namun yang penting ialah kerja memangkas buluh tua perlu rajin dilakukan bagi memastikan rumpun buluh mengeluarkan rebung yang banyak.
"Jika dijaga baik, saya boleh menuai 10 hingga 15 kilogram rebung madu yang sudah mencapai ketinggian satu meter setiap hari," katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer daripada universiti tempatan.
Ahmad Azuan kini dibantu anak-anaknya untuk menguruskan kebun dan memproses rebung madu terutama anak sulung, Ahmad Adam, 16.
Proses tuaian yang bermula sekitar jam 8.30 pagi hanya mengambil masa antara satu hingga dua jam, namun proses merebus rebung madu yang sudah dibersihkan dan dipotong dengan menggunakan dapur kayu boleh mengambil masa selama lima jam selain air rebusan perlu ditukar tiga kali bagi membuang rasa pahit.
Rebung madu mentah RM10 sekilo
Buat masa ini, anak jati Jerantut itu hanya menggunakan media sosial sebagai medium pengiklanan dengan kaedah bayaran tunai semasa penghantaran (COD) untuk pelanggan sekitar Kuantan selain perkhidmatan syarikat penghantaran untuk pembeli luar daerah termasuk Kuala Lumpur.
Ahmad Azuan berkata, rebung madu mentah dijual pada harga RM10 sekilogram manakala bagi yang direbus, harganya RM15 sekilogram dengan penghantaran hanya bermula selepas jam 4 petang kerana beliau menetapkan standard produk yang dijual mesti dituai hari sama bagi memastikan kesegarannya.
"Saya mahu pelanggan menikmati rebung madu yang rangup dan sedap dimakan walaupun hanya dicicah dengan budu atau sambal belacan. Pelanggan yang berasal dari utara banyak memasaknya sebagai pajeri atau digulai bersama daging.
"Mereka yang berasal dari Kelantan pula memberitahu ia (rebung madu) enak dimasak lemak putih selain menurut pelanggan berbangsa Cina, rebung madu sedap digoreng kerana baunya tidak kuat seperti rebung biasa," katanya. - Bernama