KOTA BHARU – Pertempuran demi pertempuran bukanlah satu perkara yang pelik kepada seorang askar, sebaliknya itulah lumrah bagi mereka memastikan negara sentiasa aman dan bebas daripada penjajah.
Mejar Jeneral Datuk Khlir Mohd Noor, 63, bukan nama asing dalam sejarah memerdekakan negara, malah pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini juga menyimpan 1,001 sejarah tersendiri sejak memulakan tugas pada 6 Januari 1979 iaitu hampir 40 tahun lalu.
Bermula dengan pangkat Leftenan Muda sehingga Mejar Jeneral, ia sudah cukup untuk membayangkan penglibatan beliau dalam ketenteraan terutamanya dunia perisikan sehingga ke peringkat luar negara.
Bercerita mengenai pertempuran dengan komunis, Khlir memberitahu, dia dan pasukan pernah bertempur dengan pengganas itu pada 26 Februari 1983 di Kampung Titi, Kuala Kelawang Negeri Sembilan.
Beliau yang ketika itu ditugaskan sebagai Ketua Terup Pasukan Khas Perisikan Tempur (PKPT) telah membuat tinjauan awal iaitu enam bulan sebelum kedatangan komunis selepas mendapat maklumat daripada Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Pada jam 10 malam pada hari tersebut, kami bergerak ke kawasan berkenaan dan ke tempat rehat pengganas komunis dengan berjalan kaki. Kami perlu bergerak malam bagi memastikan mereka tidak dapat menjejak pergerakan kami.
"Lebih kurang jam 4 pagi, kami hampiri musuh dengan perancangan awal kami iaitu melibatkan gerakkan anggota di dua kedudukan sebagai penyekat (cut off) pergerakan komunis berkenaan.
"Saya dan dua rakan lagi merangkak ke kawasan tempat tidur musuh namun kehadiran saya disedari dan mereka tiba-tiba bersuara ‘sudah makan’, namun saya tidak menjawab kerana saya tahu itu adalah salah satu perangkap dan kod khas untuk mengesan musuh.
"Dalam keadaan gelap, kami terpaksa merangkak tanpa sebarang bunyi. Ketika itulah salah seorang musuh cuba mengintai apa yang berbunyi, dan rakan saya mula menembak salah seorang daripadanya dan terkena di dada,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Khlir berkata, pengganas berkenaan cuba melarikan diri dari kawasan itu dan berbalas tembak pula dengan Kumpulan Penyekat (Cut Off Group) di dua lokasi berhampiran, namun dia dan dua lagi rakan tidak nampak dengan jelas apa yang berlaku memandangkan hari masih gelap.
Katanya, menjelang siang, pihaknya membuat pemeriksaan dan mendapati dua pengganas berjaya ditembak mati dan dua lagi melarikan diri ke arah yang tidak dapat dikenalpasti.
"Namun saya amat sedih kerana salah seorang ahli pasukan kami iaitu Lans Koperal Saimon Tarikat yang bertindak sebagai anggota penyekat mati ditembak pengganas komunis. Peluru tersebut menembusi wajahnya, namun tiada sebarang luka kelihatan.
"Saya amat sedih dengan tragedi tersebut dan masa itu baru saya ingat, dia pernah beritahu mahu pakai baju Melayu putih. Pada masa sama melahirkan hasrat mahu menghantar cincin kepada tunangnya. Itulah antara perbualan akhir kami sebelum turun bertempur,” katanya.
Khlir berkata, semangat setia kawan dan berpasukan amat penting dalam pergerakan pertempuran kerana ia merupakan kunci utama mereka untuk setiap gerak kerja yang dilakukan.
Walaupun berjaya menamatkan riwayat pengganas, namun mereka hilang seorang rakan pasukan yang sangat berdedikasi dalam melakukan kerja-kerja yang diberikan dan memberikan fokus 100 peratus untuk pertempuran berkenaan.
Meskipun hampir empat dekad peristiwa itu berlaku, namun ia masih tetap segar dalam ingatannya. Itulah antara memori yang menjadi perkongsian beliau apabila ditanya mengenai komunis pada waktu itu.