Warga emas mandi di Sungai Bernam dikhuatiri lemas

Iklan
Video tular menunjukkan seorang lelaki berenang ke dalam Sungai Bernam sebelum hilang dihanyutkan air.

SABAK BERNAM - Seorang warga emas dikhuatiri lemas apabila dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Bernam berhampiran Jeti Jalan Pasar Pekan di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pihaknya menerima maklumat daripada seorang saksi kejadian yang menghubungi polis pada jam 6.45 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian berlaku apabila mangsa yang berusia 75 tahun memberitahu saksi ingin mandi dan kemudian bertindak terjun ke dalam sungai berkenaan.

"Kira-kira 30 minit selepas itu, saksi yang tidak mengenali mangsa mendapati lelaki tersebut jauh berenang dari jeti dan telah tenggelam," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Iklan

Agus Salim berkata, hasil temu bual dengan anak perempuan mangsa memaklumkan bapanya yang menetap di Taman Padu Permai, Sungai Besar memberitahu ingin keluar rumah sebentar.

"Anak mangsa mengesahkan lelaki itu bapanya berdasarkan pengecaman baju, selipar dan sebuah kereta yang ditinggalkan mangsa," jelasnya.

Iklan

Beliau memberitahu, susulan kejadian itu, operasi mencari dan menyelamat dijalankan pada jam 7 malam pada Rabu.

"Operasi ini membabitkan seramai 23 pegawai yang terdiri daripada anggota polis, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) selain bantuan daripada anggota bomba sukarela serta beberapa nelayan.

"Pencarian dilakukan di sekitar satu kilometer dari jeti, bagaimanapun operasi pencarian dihentikan sementara pada jam 7.33 malam berikutan angin kuat dan banyak sampah.

"Operasi pencarian diteruskan pada jam 9.45 malam dan dihentikan pada jam 10.15 malam berikutan hujan lebat," katanya.

Beliau berkata, operasi mencari mangsa disambung semula pada jam 8 pagi Khamis.

"Pusat kawalan tempat kejadian telah dibuka oleh pihak bomba di jeti berkenaan," ujarnya.

Semalam, tular video berdurasi satu minit 37 saat menunjukkan seorang lelaki berenang ke dalam Sungai Bernam sebelum hilang dihanyutkan air.