SHAH ALAM - Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) membuka peluang kepada penuntut tahun akhir institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) untuk mengikuti latihan industri di syarikat berkenaan.
Pengarah Operasi Unit Strategik Perniagaan bagi Kerja-kerja Penyelenggaraan Jalan Raya, Jafrikhairi Mhd Idris berkata, ia adalah salah satu inisiatif KSSB untuk memberi pendedahan awal kepada penuntut, mengoptimumkan bakat, kebolehan dan cara kerja yang efektif dalam dunia pekerjaan.
"Sehingga Julai 2021, seramai 42 penuntut IPTA dan IPTS telah berjaya mengikuti latihan di KSSB dan sebahagiannya telah diserap sebagai kakitangan tetap KSSB.
"Program latihan industri merupakan satu komponen utama dalam kurikulum pengajian akademik di IPTA dan IPTS.
"Latihan industri ini bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran dan mempersiapkan graduan ke alam pekerjaan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, dengan adanya bimbingan dan tunjuk ajar daripada pegawai serta kakitangan yang lebih berpengalaman dan berkemahiran, ia dapat memupuk budaya kerjasama yang lebih efisien serta meningkatkan progresif sasaran kerja.
"Semoga bakal graduan memperoleh pengalaman yang berharga sepanjang tempoh latihan industri mereka,” katanya.
Jafrikhairi berkata, seiring dengan dasar dan objektif program, KSSB akan sentiasa menyokong serta memberikan peluang kepada bakal graduan terutama anak Selangor untuk turut sama mengikuti latihan industri di syarikat berkenaan.
Sementara itu, penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP), Nur Izzati Nadhirah Azzha berbesar hati dan berterima kasih kepada KSSB kerana diberikan peluang untuk menjalani latihan industri.
"Sepanjang mengikuti program latihan industri di KSSB, saya memperoleh banyak manfaat dari segi ilmu, pengalaman bekerja dan latihan yang komprehensif. Terima kasih KSSB,” kata beliau.
Nur Izzati Nadhirah kini masih menjalankan latihan industri di Unit Strategik Perniagaan bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya.
Sependapat dengan Nur Izzati Nadhirah ialah Shahqira A Razi yang merupakan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam, Selangor yang menjalani latihan industri di KSSB dalam bahagian sama.
"Saya diberi kepercayaan untuk menjalankan kerja-kerja yang telah diamanahkan seperti kakitangan KSSB yang lain.
"Saya berharap dapat mengaplikasikan teori dan pengetahuan akademik yang dipelajari semasa latihan industri ini,” kata Shahqira.